
MADRID, 19 Januari -Sekurang-kurangnya tujuh orang maut selepas dua tren berkelajuan tinggi tergelincir dalam nahas berhampiran Adamuz, di selatan Sepanyol, pada malam Ahad.
- Dua tren laju tergelincir dan bertembung selepas satu melanggar landasan bersebelahan.
- Operasi rel antara Madrid dan Andalusia dihentikan untuk kerja menyelamat dan keselamatan.
- Beberapa ambulans dan kenderaan sokongan dikerahkan ke lokasi nahas oleh perkhidmatan kecemasan.
- Siasatan dibuka dan pihak berkuasa menjangka kemungkinan angka korban meningkat.
Pengendali rangkaian rel negara itu, Adif memaklumkan, tren Iryo 6189 dari Málaga ke Madrid tergelincir terlebih dahulu sebelum merempuh landasan bersebelahan.
Akibat perlanggaran tersebut, sebuah lagi tren yang sedang dalam perjalanan dari Madrid ke Huelva turut tergelincir.
Menurut Adif, kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas tren Iryo berlepas dari Málaga pada jam 6.40 petang.
Tren berkenaan dikendalikan oleh Iryo, sebuah syarikat pengendali rel swasta.
Setakat ini, syarikat itu belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Susulan kejadian, semua perkhidmatan rel antara Madrid dan wilayah Andalusia dihentikan, bagi membolehkan operasi menyelamat dan kerja keselamatan dijalankan.
Pihak perkhidmatan kecemasan Andalusia mengesahkan sekurang-kurangnya sembilan ambulans dan beberapa kenderaan sokongan dikerahkan ke lokasi.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Pihak berkuasa menjangkakan, kemungkinan angka korban meningkat.
Setakat ini, jumlah penumpang yang cedera juga belum dapat disahkan. -REUTERS