
- Saudia Group memperkenalkan "Coolest Ihram" pertama di dunia dengan teknologi penyejukan berprestasi tinggi.
- Menampilkan teknologi berpatent "Triple Chill Effect" menurunkan suhu kulit sehingga dua darjah Celsius.
- Fabrik inovatif menyerap dan mengeringkan kelembapan dengan cepat serta meningkatkan aliran udara.
- Inisiatif ini menyokong usaha Arab Saudi memudahkan Haji dan meningkatkan keselesaan jemaah.
JEDDAH, 13 November – Ihram pertama di dunia yang dilengkapi teknologi penyejukan berprestasi tinggi, dikenali sebagai “Coolest Ihram” dipamerkan pada Persidangan dan Pameran Haji 2025 yang berlangsung dengan tema “Dari Makkah ke Seluruh Dunia”, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Menurut SPA, inovasi “Coolest Ihram” itu dibangunkan oleh Saudia Group.
Saudia Group turut mempamerkan model teknologi berpatennya, “Triple Chill Effect” , yang memberikan sensasi penyejukan segera kepada jemaah dengan menurunkan suhu kulit sehingga dua darjah Celsius.
Fabrik inovatif itu mampu menyerap dan mengeringkan kelembapan dengan cepat sambil meningkatkan aliran udara untuk mengurangkan rasa panas, menjadikan ihram itu lebih praktikal dan sesuai dengan keadaan di tanah suci.
“Coolest Ihram” menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan Arab Saudi memudahkan perjalanan Haji dan meningkatkan pengalaman jemaah, dengan menjadikan inovasi sebagai sebahagian daripada keselesaan mereka, menawarkan persekitaran yang lebih sejuk dan menyegarkan.- BERNAMA