Rusia tegaskan tiada bekalan minyak kepada negara sokong had harga

Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko/REUTERS

MOSCOW, 31 Mac –Rusia tidak akan membekalkan minyak kepada negara yang menyokong langkah antipasaran untuk mengekalkan had harga, kata Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran tenaga tidak stabil dengan kekurangan bekalan dan peningkatan kos sumber tenaga.
  • Tokyo terikat pada komitmen had harga minyak Rusia, dianggap gangguan kepada rantaian bekalan.
  • Jabatan Perbendaharaan AS memberi pengecualian sementara sehingga 12 April untuk jualan minyak Rusia menurunkan harga tenaga global.

Rudenko berkata dalam temu bual dengan akhbar harian Rusia, Izvestia bahawa pasaran tenaga ketika ini tidak stabil, dengan kekurangan bekalan serta peningkatan kos sumber tenaga.

Menjawab soalan mengenai perdagangan dengan negara yang menyokong sekatan anti-Rusia termasuk Jepun, beliau berkata Tokyo terikat dengan komitmen terhadap had harga minyak yang berasal dari Rusia, yang disifatkannya sebagai “langkah antipasaran yang mengganggu rantaian bekalan.”

“Seperti yang telah dinyatakan berulang kali, Rusia tidak akan membekalkan minyak kepada negara yang menyokong skim provokatif ini,” katanya.

Pada 12 Mac, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa sebagai sebahagian daripada perubahan dasar sekatan AS, ia memberikan pengecualian bagi penjualan minyak mentah dan produk petroleum Rusia sehingga 12 April.

Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent menjelaskan bahawa pengecualian terhadap penjualan minyak Rusia daripada sekatan AS bertujuan menurunkan harga tenaga di pasaran global susulan perang di Iran.

Had harga oleh Kumpulan Tujuh (G7) terhadap minyak mentah Rusia yang diperkenalkan pada Disember 2022 dirangka sebagai mekanisme dwitujuan untuk mengurangkan hasil tenaga Moscow sambil mengekalkan aliran bekalan minyak global dengan melarang perkhidmatan maritim Barat bagi kargo yang dijual melebihi harga ditetapkan. – BERNAMA