Rusa hitam ditembak mati di Zoo Vienna

Gambar hiasan

VIENNA, 1 April- Insiden seekor rusa hitam yang ditembak mati di sebuah zoo di sini, Austria, baru-baru ini, mencetuskan kegemparan terhadap isu keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tembakan berlaku dari luar sangkar oleh penembak tidak dikenali antara malam Sabtu hingga Ahad.
  • Bangkai ditemui oleh penjaga zoo; doktor haiwan mengesahkan kecederaan akibat tembakan.
  • Kes dikemukakan kepada polis pada Isnin dan siasatan rasmi telah dibuka.
  • Pengarah zoo menegaskan keselamatan manusia dan haiwan adalah aset paling berharga dan usaha keselamatan ditingkatkan.

Menurut pihak Zoo Schoenbrunn, tembakan berlaku dari luar sangkar zoo oleh penembak tidak dikenali antara malam Sabtu hingga Ahad.

“Keselamatan manusia dan haiwan adalah aset paling berharga kami dan kami melakukan segala usaha untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi,” jelas Pengarah Zoo, Stephan Hering-Hagenbeck.

Terdahulu, bangkai haiwan berkenaan ditemukan oleh penjaga zoo, manakala doktor haiwan yang melakukan bedah siasat mengesahkan kecederaan akibat tembakan.

Kejadian itu telah dilaporkan kepada polis pada Isnin dan siasatan telah dibuka.

Zoo Schoenbrunn, yang terletak dalam kawasan Istana Schoenbrunn, menerima hampir dua juta pengunjung pada 2024.

Rusa hitam juga dikenali sebagai rusa India berasal dari Asia Selatan. -AFP