Rundingan gagal, laluan Selat Hormuz belum pulih

FOTO REUTERS

ISLAMABAD, 12 April – Pergerakan kapal dagang di Selat Hormuz kekal terhad susulan kegagalan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran mencapai kata sepakat, sekali gus mengekalkan ketegangan di laluan strategik itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Data MarineTraffic menunjukkan hanya sedikit kapal melalui Selat Hormuz, jauh lebih rendah berbanding kira-kira 150 kapal sehari sebelum konflik.
  • Antara kapal direkodkan termasuk kapal tangki LPG, kapal kargo dek serta beberapa kapal minyak mentah dan bahan kimia berdaftar Malta, Liberia, Pakistan.
  • Naib Presiden AS JD Vance berkata delegasi Washington meninggalkan Pakistan selepas 21 jam rundingan gagal, menjejaskan gencatan senjata dua minggu yang rapuh.
  • Iran kata tuntutan AS melampau punca rundingan buntu, namun pakar teknikal kedua pihak akan terus bertukar dokumen mencari penyelesaian.

Data MarineTraffic menunjukkan hanya sebilangan kecil kapal komersial melalui selat berkenaan dari Sabtu hingga awal pagi Ahad, jauh lebih rendah berbanding kira-kira 150 kapal sehari sebelum konflik tercetus.

Antara kapal yang direkodkan ialah kapal tangki LPG, kapal kargo dek serta beberapa kapal minyak mentah dan bahan kimia yang berdaftar di Malta, Liberia dan Pakistan.

Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance berkata delegasi Washington meninggalkan Pakistan selepas rundingan selama 21 jam gagal mencapai persetujuan dengan Iran, sekali gus menjejaskan gencatan senjata dua minggu yang masih rapuh.

Sementara itu, agensi berita rasmi Iran, Tasnim News Agency mendakwa tuntutan “melampau” oleh Amerika Syarikat menjadi punca utama rundingan tidak menunjukkan kemajuan.

Bagaimanapun, kerajaan Iran memberi bayangan rundingan masih belum ditamatkan sepenuhnya apabila memaklumkan pakar teknikal kedua-dua pihak akan terus bertukar dokumen sebagai sebahagian usaha mencari penyelesaian.

Selat Hormuz kekal menjadi isu utama dalam rundingan memandangkan kepentingannya sebagai laluan kritikal perdagangan minyak dunia.-REUTERS