Rundingan AS-Iran gagal capai perjanjian

Naib Presiden AS, JD Vance / REUTERS

ISLAMABAD, 12 April – Amerika Syarikat dan Iran gagal mencapai sebarang perjanjian bagi menamatkan konflik di Asia Barat selepas rundingan maraton selama 21 jam di Pakistan, kata Naib Presiden AS, JD Vance.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentadbiran AS kata telah kemukakan tawaran terakhir dan terbaik; menunggu sama ada Iran akan menerimanya.
  • AS menuntut jaminan kukuh bahawa Iran tidak akan membangunkan senjata nuklear; isu itu masih belum dipersetujui.
  • Rundingan berprofil tinggi, pengantaraan Pakistan, diadakan selepas gencatan senjata dua minggu menyediakan ruang untuk perbincangan.
  • Ketegangan meningkat di Selat Hormuz; AS hantar dua kapal perang, Iran nafikan kehadiran kapal Amerika dan beri amaran.

Menurut Vance, Washington telah mengemukakan tawaran terakhir dan terbaik kepada Tehran, namun belum menerima komitmen asas khususnya berkaitan isu pembangunan senjata nuklear.

“Kita meninggalkan rundingan ini dengan satu cadangan yang jelas. Ia adalah tawaran terakhir dan terbaik. Kita akan lihat sama ada Iran akan menerimanya,” katanya kepada pemberita.

Beliau menjelaskan, Amerika Syarikat menuntut jaminan kukuh bahawa Iran tidak akan membangunkan senjata nuklear, namun perkara itu masih belum dipersetujui.

Rundingan berprofil tinggi itu merupakan yang tertinggi antara kedua-dua negara sejak Revolusi Islam Iran 1979 dan diadakan dengan pengantaraan Pakistan.

Walaupun gagal mencapai kata sepakat, Vance memberi bayangan Washington masih membuka ruang untuk Iran mempertimbangkan tawaran tersebut, dengan gencatan senjata selama dua minggu diumumkan sebelum ini bagi memberi laluan kepada rundingan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Donald Trump menegaskan hasil rundingan bukan keutamaan, sebaliknya mendakwa Washington telah mencapai kemenangan di medan perang.

“Sama ada kita capai perjanjian atau tidak, ia tidak penting. Kita sudah menang,” katanya.

Ketegangan turut memuncak di Selat Hormuz apabila Iran dilaporkan meningkatkan kawalan ke atas laluan strategik itu, yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dunia.

Tentera AS memaklumkan dua kapal perang telah dihantar untuk membersihkan laluan tersebut, namun pihak Iran menafikan kehadiran kapal Amerika dan memberi amaran akan bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan.

Delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf turut menyuarakan keraguan terhadap kesungguhan Amerika Syarikat, dengan menyifatkan pengalaman rundingan sebelum ini sering berakhir dengan kegagalan.

Iran dilaporkan menuntut pembekuan sekatan ekonomi ditamatkan serta penghentian operasi ketenteraan Israel di Lubnan sebagai syarat perjanjian, namun perkara itu tidak termasuk dalam agenda rundingan di Islamabad.

Sementara itu, Israel terus meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan dengan angka korban melebihi 2,000 orang, sekali gus menambah kerumitan usaha diplomatik untuk meredakan konflik di rantau tersebut.-AFP