Rundingan AS-Iran, ‘batu loncatan’ ke arah keamanan di Asia Barat – PM Pakistan

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berjabat tangan dengan wakil delegasi Iran, Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf di Islamabad. /Foto AFP

ISLAMABAD, 11 April – Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengadakan pertemuan berasingan dengan delegasi Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada Sabtu di ibu negara, Islamabad, bertujuan menamatkan peperangan yang bermula pada 28 Februari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berharap rundingan menjadi batu loncatan ke arah keamanan yang berkekalan di rantau.
  • Pakistan memudah cara gencatan senjata dua minggu antara pihak bertelagah.
  • Delegasi AS dipimpin JD Vance manakala Iran diwakili Speaker Mohammad Bagher Ghalibaf, disertai pegawai kanan.
  • Rundingan berlangsung dalam format langsung dan tidak langsung untuk menamatkan konflik besar di Asia Barat.

Beliau menzahirkan harapan agar rundingan itu akan menjadi “batu loncatan” ke arah keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan.

Menurut Anadolu Ajansi, Sharif bertemu Naib Presiden AS JD Vance dan delegasinya selepas mengadakan perbincangan berasingan dengan pihak Iran yang diketuai oleh Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf.

Pejabat beliau memaklumkan bahawa dalam pertemuan dengan Vance, Sharif memuji komitmen kedua-dua delegasi untuk “terlibat secara konstruktif” dan berharap rundingan itu “akan menjadi batu loncatan ke arah keamanan yang mampan di rantau ini.”

Vance dan Ghalibaf kini berada di Islamabad bagi rundingan menamatkan konflik selepas Pakistan berjaya mengusahakan gencatan senjata selama dua minggu antara pihak yang bertelagah pada Rabu.

Sharif menegaskan bahawa Pakistan “berhasrat untuk terus memudah cara kedua-dua pihak dalam mencapai kemajuan ke arah keamanan yang mampan di rantau itu.”

Vance diiringi oleh Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, manakala Menteri Luar Ishaq Dar dan Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi turut menyertai Sharif dalam pertemuan dengan pihak AS.

Terdahulu, penyiar awam Iran IRIB melaporkan Sharif bertemu dengan pihak Iran yang diketuai oleh Ghalibaf sebelum sesi bersama pasukan AS. Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi daripada Islamabad mengenai pertemuan dengan pihak Iran setakat ini.

Pasukan Ghalibaf turut disertai Menteri Luar Abbas Araghchi dan Timbalan Majlis Keselamatan Kebangsaan Ali Bagheri Kani. Delegasi Iran itu berlepas ke Islamabad lebih awal daripada pesawat Air Force Two yang membawa Vance pada Sabtu.

Rundingan antara AS dan Iran yang dikenali sebagai “Rundingan Islamabad” dijangka bermula sekitar pukul 3 petang waktu tempatan (1000 GMT).

Pakistan menjadi tuan rumah kepada rundingan bersejarah itu yang dijangka berlangsung dalam format langsung dan tidak langsung bagi menamatkan konflik besar di Asia Barat. Perang itu bermula dengan serangan AS-Israel terhadap Iran yang bertujuan menghapuskan ancaman keselamatan dan menghentikan program nuklearnya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Iran, hampir 3,000 rakyatnya terkorban dalam peperangan itu, manakala sekurang-kurangnya 13 anggota tentera AS maut dan berpuluh-puluh lagi cedera. -BERNAMA-ANADOLU