Rom perkenal zon had laju 30 kilometer sejam di pusat bandar

FOTO REUTERS

ROM, 16 Januari – Had laju maksimum di pusat bandar Rom kini ditetapkan pada 30 kilometer sejam (km/j), berkuat kuasa Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Had laju 30 km/j diperluaskan ke banyak kawasan pusat bandar Rom, terutamanya zon bersejarah.
  • Tujuan utama adalah kurangkan nahas jalan raya dan capai sifar kematian akibat kemalangan.
  • Pengurangan had laju dipercayai mengurangkan risiko dan tahap kecederaan menurut kajian.
  • Peningkatan pejalan kaki dan kesesakan memerlukan pendekatan mobiliti baru bagi keselamatan.

Had laju baharu itu terpakai terutamanya di kawasan bersejarah ibu negara Itali itu, selain beberapa laluan utama yang lebih luas di sekitar pusat bandar.

Sebelum ini, had laju itu hanya meliputi kurang daripada separuh jalan di kawasan pusat bandar.

Langkah itu bertujuan mengurangkan nahas jalan raya dan menurunkan jumlah kematian akibat kemalangan kepada sifar.

Ketua jabatan pengangkutan Eugenio Patane berkata pelbagai kajian menunjukkan yang pengurangan had laju kepada 30km/j dapat mengurangkan risiko serta tahap kecederaan akibat nahas. “Oleh itu, ia bukan satu keputusan berasaskan ideologi,” katanya.

Beliau berkata jumlah pejalan kaki meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berkemungkinan disebabkan peningkatan pelancong yang menerokai bandar itu dengan berjalan kaki, sekali gus memerlukan pendekatan baharu terhadap mobiliti bandar.

“Kami mempunyai tanggungjawab untuk mengurangkan perbezaan kelajuan antara pengguna jalan raya yang lebih berkuasa dan yang lebih terdedah. Dengan cara inilah risiko kematian dapat dikurangkan,” katanya.

Laporan portal Roma Today meletakkan Kota Abadi itu di tempat ke-17 antara bandar paling sibuk di dunia. Banyak kawasan mengalami kesesakan teruk ketika waktu puncak dan satu kajian yang diterbitkan oleh portal itu mendapati penduduk Rom menghabiskan purata kira-kira 76 jam dalam kesesakan lalu lintas tahun lalu.

Bologna menjadi bandar utama pertama di Itali yang memperkenalkan had laju 30km/j di jalan bandar pada 2024, dengan lebuh raya dikecualikan. Pada tahun pertama pelaksanaan peraturan itu, tidak seorang pun pejalan kaki maut di jalan raya bandar berkenaan. -BERNAMA-dpa