
BARCELONA, 12 April – Pengedaran risalah ancaman yang dilakukan tentera Israel kepada penduduk Gaza disifatkan sebagai satu bentuk tekanan psikologi ketika wilayah itu berdepan pengeboman dan sekatan berterusan.
- Risalah yang menggugut membunuh dan mempersendakan perhatian dunia memberi tekanan psikologi mendalam kepada penduduk kelaparan dan terputus hubungan.
- Maklumat luar amat penting untuk memberi kekuatan dan memastikan penduduk Gaza terus bertahan dalam keadaan sukar.
- Misi flotila melambangkan solidariti antarabangsa dan menyampaikan mesej bahawa penduduk Gaza tidak bersendirian.
- Penderitaan panjang memberi kesan emosi serta kehidupan harian; masyarakat antarabangsa mesti terus bersuara dan bertindak.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Susan Abdallah yang juga seorang rakyat Gaza berkata, risalah tersebut diedarkan dalam keadaan rakyat berdepan kebuluran dan terputus hubungan dengan dunia luar.
“Mereka bukan sahaja mengebom Gaza, tetapi turut menggugurkan risalah yang menyatakan mereka akan membunuh kami dan mempersendakan tiada siapa yang peduli.
“Mesej tersebut memberi kesan mendalam kepada penduduk yang bergantung kepada sokongan luar sebagai sumber kekuatan,” katanya ketika ditemui pemberita RTM di sini.
Menurut beliau, dalam keadaan itu, sebarang maklumat dari luar amat penting bagi memastikan penduduk terus bertahan.
Pengalaman tersebut mendorong beliau menyertai misi flotila bagi menyampaikan mesej bahawa penduduk Gaza tidak bersendirian.
Menurutnya, penyertaan peserta dari pelbagai negara melalui misi itu menjadi simbol sokongan antarabangsa kepada rakyat Palestin.
Pada masa sama, beliau berkongsi pengalaman hidup sebagai pelarian sejak kecil akibat konflik berpanjangan.
“Penderitaan rakyat Palestin bukan sahaja melibatkan serangan fizikal, tetapi turut memberi kesan kepada emosi dan kehidupan harian.
“Masyarakat antarabangsa untuk terus bersuara dan bertindak bagi menamatkan konflik di Gaza,” katanya lagi.