
CHINA, 22 Februari – Ribut salji dan angin kencang melanda Wilayah Autonomi Xinjiang Uygur serta Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, menyebabkan kenderaan terkandas dan operasi menyelamat digerakkan pihak berkuasa.
- Angin kencang dan salji tebal menjejaskan Lebuhraya G575, menyebabkan beberapa kenderaan terkandas.
- Pasukan penyelamat berjalan kaki ke lokasi akibat timbunan salji dan jarak penglihatan terhad.
- Semua mangsa dipindahkan ke tempat selamat selepas lebih dua jam operasi menyelamat.
- Meteorologi ramal cuaca cerah Ahad tetapi suhu sangat rendah sekitar negatif 25 darjah Celsius.
Di Xinjiang, angin kencang sehingga tahap sembilan melanda kawasan pergunungan dan menjejaskan Lebuhraya G575, menyebabkan beberapa kenderaan terkandas termasuk tiga buah kereta membawa 11 penumpang pada Jumaat.
Pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki ke lokasi kejadian susulan timbunan salji tebal dan jarak penglihatan terhad.
Kesemua mangsa berjaya dipindahkan ke lokasi selamat selepas lebih dua jam operasi menyelamat dijalankan.
Sementara itu di Mongolia Dalam, angin mencecah tahap 10 dengan suhu minimum menjunam hingga negatif 25 darjah Celsius pada Sabtu.
Keadaan itu turut menyebabkan beberapa insiden kenderaan terkandas dan ternakan hilang.
Pihak berkuasa tempatan mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan serta mengerahkan anggota keselamatan bagi membantu mangsa terjejas.
Menurut pihak meteorologi, cuaca dijangka kembali cerah pada Ahad, namun suhu rendah sekitar negatif 25 darjah Celsius dijangka berterusan.-REUTERS