Ribut kuat landa New Zealand, ganggu penerbangan

Foto REUTERS

ISTANBUL, 16 Februari -Hujan lebat dan angin kencang pada Isnin mengganggu perkhidmatan penerbangan serta menyebabkan ribuan premis terputus bekalan elektrik di seluruh Pulau Utara New Zealand, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Angin kencang dan hujan lebat mengganggu perkhidmatan penerbangan dan keselamatan awam.
  • Lebih 30,000 premis terputus bekalan elektrik akibat pokok tumbang dan talian rosak.
  • Beberapa daerah diturunkan perintah darurat dan operasi kecemasan dijalankan.
  • Air New Zealand membatalkan penerbangan sambil memantau keadaan untuk menyambung semula perkhidmatan.

Lebih 30,000 premis terputus bekalan elektrik selepas angin kencang menumbangkan pokok dan talian kuasa elektrik di sebahagian besar kawasan selatan Pulau Utara, menurut Radio New Zealand (RNZ).

Pembekal elektrik Powerco melaporkan kira-kira 23,000 gangguan bekalan di seluruh rangkaiannya, termasuk sekitar 10,000 di wilayah Wellington sahaja.

Manawatu-Whanganui merupakan antara wilayah paling teruk terjejas dan kini berada di bawah perintah darurat.

Pemindahan sedang dijalankan di Lincoln Road di Masterton berikutan risiko pokok tumbang.

Penolong Komander Wairarapa Ian Wright menyifatkan malam yang sibuk dengan panggilan kecemasan berkaitan cuaca yang masih berterusan, sambil memberi amaran bahawa pokok tumbang kekal sebagai bahaya utama.

Air New Zealand membatalkan penerbangan keluar dan masuk dari beberapa pusat utama termasuk ibu negara, Wellington, berikutan angin kencang.

“Keselamatan adalah keutamaan dan kami terus memantau keadaan dengan teliti, dengan angin dijangka reda lewat pagi ini apabila kami menjangka dapat menyambung semula perkhidmatan,” kata ketua pegawai operasi Alex Marren.

Lima daerah — Manawatu, Rangitikei, Tararua, Waipa dan Otorohanga — kini berada di bawah perintah darurat.

Tiupan angin mencecah sehingga 240 kilometer sejam di pantai timur di selatan Pulau Utara, termasuk di Cape Turnagain, manakala kawasan tanah tinggi Wellington merekodkan tiupan sehingga 190 km/j dan sekitar 130 km/j di bandar itu.- BERNAMA