
LISBON, 29 Januari – Ribut Kristin telah meragut lima nyawa dan menyebabkan hampir 450,000 pengguna terputus bekalan elektrik pada Khamis, lebih 24 jam selepas ribut itu melanda kawasan tengah dan utara Portugal, menurut pihak berkuasa.
- Ribut menyebabkan hujan lebat dan angin kencang sehingga 178 km/j, memusnahkan infrastruktur.
- Hampir 450,000 pelanggan kehilangan bekalan elektrik selepas tiang dan talian voltan tinggi tumbang.
- Perkhidmatan kereta api disangguhkan dan beberapa sekolah di kawasan tengah ditutup.
- Pasukan bomba menerima puluhan panggilan kecemasan untuk banjir dan kerosakan bumbung.
Ribut tersebut membawa hujan lebat dan angin kencang dengan kelajuan sehingga 178 kilometer sejam, bermula dari malam Selasa hingga Rabu.
Menurut pegawai perlindungan awam, mangsa kelima adalah seorang lelaki berusia 34 tahun, disahkan meninggal dunia akibat cuaca buruk di bahagian tengah negara itu.
Pengendali rangkaian elektrik, E-redes memaklumkan hampir 450,000 pelanggan terjejas, terutama di daerah Leiria, selepas tiang dan talian voltan tinggi tumbang.
Perkhidmatan kereta api di beberapa laluan utama, termasuk antara Lisbon dan Porto, masih digantung, manakala beberapa sekolah di kawasan tengah negara turut ditutup.
Pasukan bomba di Leiria menerima puluhan panggilan kecemasan berkaitan banjir dan kerosakan bumbung, menurut pegawai wilayah Ricardo Costa kepada agensi berita Lusa.
“Penduduk meminta bantuan kerana hujan masih turun, walaupun tidak begitu lebat, tetapi ia menyebabkan kerosakan besar pada rumah,” katanya.
Kerajaan Portugal dalam satu kenyataan berkata ribut itu telah mengakibatkan kerosakan besar di beberapa kawasan di seluruh negara.-AFP