
ATHENS, 29 Mac – Ribuan penunjuk perasaan memenuhi bandar-bandar utama di Greece pada Sabtu bagi membantah serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran susulan konflik yang kini memasuki bulan kedua.
- Perhimpunan dianjurkan parti kiri, persatuan pelajar, kesatuan sekerja, komuniti migran dan NGO.
- Penunjuk perasaan menuntut hentikan konflik, kerajaan Greece kekal berkecuali, utamakan kesihatan dan pendidikan berbanding pertahanan.
- Mereka memegang sepanduk anti-campur tangan, mengibarkan bendera Iran, Lubnan dan Palestin serta melaungkan slogan menentang perang.
- Konflik sebulan mengakibatkan lebih 1,900 rakyat Iran maut, 24,800 cedera; 19 tentera Israel, 13 tentera AS terbunuh, dan impak ekonomi global.
Perhimpunan berkenaan dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk parti politik berhaluan kiri, persatuan pelajar, kesatuan sekerja, pertubuhan komuniti migran, dan badan bukan kerajaan (NGO).
Di Athens, perhimpunan utama bermula di luar bangunan Parlimen sebelum berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.
Para penunjuk perasaan menuntut agar konflik dihentikan serta-merta selain menggesa kerajaan Greece kekal berkecuali, dan mengutamakan perbelanjaan awam untuk sektor kesihatan dan pendidikan berbanding pertahanan.
Para penunjuk perasaan dilihat memegang sepanduk bertulis “Tiada campur tangan dalam urusan Iran”, “Tiada perang, kembalikan keamanan kepada rakyat”, dan “Tiada penempatan tentera Greece ke Asia Barat”, sambil mengibarkan bendera Iran, Lubnan dan Palestin.
Mereka turut melaungkan slogan menentang perang, mengecam tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, serta tindakan Israel terhadap Palestin dan Lubnan.
“Kami di sini untuk membantah perang, membantah apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Israel di seluruh kawasan Asia Barat. Sudah tentu, ia (operasi ketenteraan) melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Torres, seorang penunjuk perasaan.
Perang Amerika Syarikat-Israel dan Iran yang berlangsung sebulan mengakibatkan kematian yang tinggi di kedua-dua belah pihak.
Dianggaran jumlah kematian rakyat Iran melebihi 1,900 orang, dengan lebih 24,800 cedera.,
Manakala sekurang-kurangnya 19 anggota tentera Israel dan 13 anggota tentera Amerika Syarikat terbunuh.
Konflik yang berlanjutan ini turut memberi impak besar terhadap landskap geopolitik dan ekonomi dunia, menaikkan harga minyak, menggoncang pasaran antarabangsa, dan menambah tekanan kepada ekonomi global. – REUTERS