Ratusan ribu terjejas susulan konflik di Sudan Selatan

Keadaan di hospital di Akobo/ AFP

AKOBO, 18 Februari – Pertempuran di negeri Jonglei, Sudan Selatan antara tentera bawah Presiden Salva Kiir dan pasukan penyokong Timbalan Presiden Riek Machar telah menyebabkan kira-kira 280,000 orang hilang tempat tinggal sejak Disember, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih separuh daripada mereka yang terjejas adalah kanak-kanak, banyak melarikan diri berkali-kali dan memerlukan perlindungan segera.
  • Perkhidmatan kesihatan terjejas teruk; hospital kekurangan kakitangan, bekalan, dan rawatan kecederaan perang.
  • Risiko malnutrisi dan kehilangan pendidikan meluas, dengan ratusan ribu kanak-kanak terdedah kepada masa depan yang suram.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) pula melaporkan lebih separuh daripada mereka yang hilang tempat tinggal adalah kanak-kanak, dengan sebahagiannya melarikan diri buat kali kedua atau ketiga.

Tidak terkecuali seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan terbaring tidak bergerak di atas katil hospital kotor di zon konflik Sudan Selatan, dengan luka peluru di kaki.

“Apabila mereka tiba, mereka mula menembak semua orang di kawasan itu – tua, kanak-kanak, dan ibu,” kata nenek kanak-kanak itu, Nyayual, di hospital bandar Akobo yang dikuasai pihak pembangkang.

Peluru itu turut meragut nyawa ibunya – anak perempuan Nyayual. Nyayual mendakwa pasukan kerajaan menyerang kampung mereka.

“Kami lari… mereka masih menembak kami. Kerajaan gagal ini tidak tahu cara menyelesaikan masalah,” katanya.

Sudan Selatan mencapai kemerdekaan pada 2011 tetapi terjerumus ke dalam perang saudara. Perjanjian perkongsian kuasa pada 2018 membawa keamanan relatif, tetapi perjanjian itu mula retak sepanjang 2025 sekali gus mencetuskan konflik melibatkan ribuan pelarian, kanak-kanak, risiko malnutrisi serta kekurangan asas kehidupan.

Hospital di Akobo – terdiri daripada bangunan usang, kebanyakannya tanpa pintu atau tingkap – hanya mempunyai seorang pakar bedah yang kini tidak mampu menampung tugas. Lebih 40 lelaki muda dirawat akibat kecederaan peluru.

Di ibu negeri Bor pula, doktor cuba menampung kemasukan besar pelarian dengan bekalan yang semakin berkurangan. Pengarah sementara hospital, David Tor dapat menyelamatkan seorang ibu yang terpaksa bersalin di kawasan paya berdekatan dan berjaya menurunkan demam bayi itu.

Sudan Selatan disenaraikan sebagai negara paling korup oleh Transparency International. Menurut PBB, berbilion dolar hasil minyak negara itu telah dicuri golongan elit dan bergantung kepada penderma antarabangsa untuk 80-90 peratus keperluan kesihatannya. Transparency International pula menyenaraikan Sudan Selatan sebagai negara paling korup.

Konflik baharu itu melahirkan generasi kanak-kanak dengan prospek hidup yang terhad. Bank Dunia menganggarkan 70 peratus kanak-kanak tidak bersekolah.

Di kem pemindahan di Lake State, selatan Bor, ibu-ibu mendaftar anak mereka untuk program pendidikan kecemasan dan sokongan psikososial yang dijalankan oleh Norwegian Refugee Council, yang sudah merekodkan 2,000 kanak-kanak.

Bagi Nyanhiar Malneth, 28, yang membesar dalam konflik terdahulu, pendidikan anak-anaknya adalah harapan untuk masa depan, namun keutamaan sekarang adalah bantuan makanan.

Turut dianggarkan sekitar 825,000 orang kini berisiko mengalami malnutrisi akut di tiga negeri Sudan Selatan – Jonglei, Unity dan Eastern Equatoria.- AFP