Ratusan penunjuk perasaan di Paris bantah konflik di Asia Barat

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Place de la République membantah konflik yang berlaku di rantau Asia Barat/ REUTERS

PARIS, 7 Mac Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Place de la République di sini pada Jumaat malam bagi membantah konflik yang berlaku di rantau Asia Barat, selain menggesa agar peperangan di kawasan itu dihentikan segera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Iran, Lubnan dan Palestin serta melaungkan slogan menentang Presiden AS Donald Trump.
  • Latifa Amensag berkata beliau sangat marah dan menyeru 'hentikan', menyifatkan situasi sebagai mesin perang yang mengerikan.
  • Trump menuntut Iran menyerah tanpa syarat, meningkatkan tekanan selepas seminggu konflik bersama Israel.
  • Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata beberapa negara mengusahakan pengantaraan, isyarat awal kemungkinan inisiatif diplomatik.

Para penunjuk perasaan dilihat mengibarkan bendera Iran, Lubnan dan Palestin, manakala sebahagian daripada mereka turut melaungkan slogan menentang Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Seorang penunjuk perasaan dari Paris, Latifa Amensag berkata beliau berasa amat marah terhadap situasi yang berlaku.

“Saya sangat marah. Saya mahu menjerit dan berkata ‘hentikan’. Namun, seruan itu masih belum didengari. Ini adalah mesin perang yang amat mengerikan,” katanya.

Sementara itu, Trump pada Jumaat menuntut Iran menyerah diri tanpa syarat, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap negara itu selepas seminggu konflik yang dilancarkan bersama Israel.

Kenyataan tersebut dibuat menerusi media sosial hanya beberapa jam selepas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memaklumkan bahawa beberapa negara telah memulakan usaha pengantaraan bagi menamatkan konflik berkenaan.

Perkembangan itu dilihat sebagai antara petunjuk awal kepada kemungkinan inisiatif diplomatik untuk menamatkan peperangan.

Seorang lagi penunjuk perasaan berketurunan Perancis-Iran, Firouze Banisad berkata beliau amat bimbang dengan perkembangan konflik tersebut.

“Saya sangat bimbang. Saya fikir perang ini melambatkan dan menjadi halangan kepada perjuangan untuk kebebasan dan kemerdekaan negara saya,” katanya.- REUTERS