
NUUK, 18 Februari – Raja Denmark, Frederik X dijadual memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Greenland bermula Rabu ini, menurut kenyataan Istana Diraja Denmark.
- Lawatan tiga hari Raja Frederik X ke Greenland menunjukkan sokongan Denmark terhadap wilayah autonomi itu.
- Ketegangan timbul susulan ancaman Donald Trump untuk mengambil alih Greenland kerana kepentingan strategik dan sumber mineral.
- Satu kumpulan kerja AS, Denmark dan Greenland ditubuhkan untuk membincangkan kebimbangan keselamatan di Artik.
Lawatan berkenaan adalah sebagai tanda sokongan terhadap wilayah autonomi Denmark itu yang menjadi perhatian Donald Trump.
Trump sebelum ini mengancam untuk mengambil alih pulau Artik yang kaya dengan sumber mineral itu, termasuk menggunakan kekerasan jika perlu.
Kenyataan tersebut telah meningkatkan ketegangan antara Washington dan Denmark yang juga anggota Kesatuan Eropah serta NATO.
Lawatan itu diumumkan pada akhir Januari lalu, ketika Raja Denmark berusia 57 tahun itu menyatakan solidaritinya terhadap Greenland yang mempunyai kira-kira 57,000 penduduk.
Frederik dijadual berada di ibu negara, Nuuk, pada Rabu; di Maniitsoq, kira-kira 150 kilometer di utara Nuuk, pada Khamis; dan di Kangerlussuaq pada Jumaat bagi melawat pusat latihan Artik tentera Denmark.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, pada Sabtu berkata beliau percaya Trump masih berhasrat untuk memiliki Greenland meskipun telah meredakan ancaman terbaharunya untuk merampas wilayah itu secara paksa.
Trump menegaskan Greenland yang kaya mineral amat penting bagi keselamatan Amerika Syarikat dan NATO dalam menghadapi Rusia dan China, susulan pencairan ais di Artik yang membuka laluan strategik baharu ketika kuasa besar dunia bersaing mendapatkan kelebihan geopolitik.
Sementara itu, satu kumpulan kerja melibatkan Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland telah ditubuhkan bagi membincangkan kebimbangan keselamatan Washington di rantau Artik, namun butiran lanjut belum didedahkan kepada umum. – AFP