Pyongyang didakwa sengaja lancar 10 peluru berpandu

Foto AFP

SEOUL, 14 Mac – Korea Utara didakwa melancarkan kira-kira 10 peluru berpandu balistik ke arah Laut Jepun, menurut Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketegangan meningkat ketika latihan ketenteraan tahunan Korea Selatan dan AS melibatkan 18,000 anggota, berlangsung hingga 19 Mac.
  • Tentera Korea Selatan bersedia bertindak balas tegas terhadap sebarang provokasi; spesifikasi senjata dianalisis bersama Amerika Syarikat.
  • Penganalisis: pelancaran bertujuan menarik perhatian global semasa tumpuan kepada konflik Asia Barat; Pyongyang anggap latihan gabungan sebagai persiapan pencerobohan.

Tindakan itu sekali gus meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea.

Menurut JCS, peluru berpandu itu dikesan dilancarkan dari kawasan Sunan sekitar tengah hari sebelum terbang sejauh kira-kira 350 kilometer ke arah Laut Timur.

“Tentera Korea Selatan bersedia untuk bertindak balas secara tegas terhadap sebarang provokasi,” kata JCS.

Spesifikasi peluru berpandu itu juga sedang dianalisis bersama pihak Amerika Syarikat.

Kementerian Pertahanan Jepun turut mengesahkan pelancaran senjata berkenaan dan memaklumkan kemungkinan sebuah peluru berpandu balistik dilancarkan dari Korea Utara.

Ketegangan memuncak ketika Korea Selatan dan Amerika sedang menjalankan latihan ketenteraan tahunan yang melibatkan 18,000 anggota tentera Korea Selatan dan dijadual berlangsung hingga 19 Mac.

Pyongyang sejak sekian lama menyifatkan latihan tersebut sebagai latihan persediaan pencerobohan terhadap negara itu.

Awal minggu ini, Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, memberi amaran latihan bersama itu boleh mengundang implikasi yang buruk.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min-seok memaklumkan Presiden, Donald Trump berpandangan pertemuan dengan Kim Jong Un berjalan lancar.

Bagaimanapun, penganalisis merasakan pelancaran peluru berpandu itu sebagai usaha Pyongyang menarik perhatian dunia ketika tumpuan global kini terarah kepada konflik di Asia Barat.