Protes di Athens, penunjuk perasaan desak keamanan

Ratusan penunjuk perasaan berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di tengah Athens/ REUTERS

ATHENS, 29 Mac – Ratusan penunjuk perasaan berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di tengah Athens pada Sabtu susulan gesaan bagi membantah konflik di Asia Barat melibatkan AS-Israel dengan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peserta melaungkan slogan, mengibarkan bendera Iran, Venezuela dan Palestin, serta membakar bendera AS sebagai protes.
  • Bantahan diadakan serentak dengan siri perhimpunan No Kings di AS, menentang perang dan dasar Presiden Donald Trump.
  • Peserta menolak autoritarianisme dan campur tangan ketenteraan; menuntut keamanan dan menentang menghantar generasi muda berperang.

Peserta demonstrasi dilihat melaungkan slogan serta mengibarkan pelbagai bendera termasuk Iran dan Venezuela, selain membawa bendera Palestin ketika berarak melepasi kawasan kedutaan AS.

Sebahagian daripada mereka turut membakar bendera AS sambil melaungkan slogan “No fascist USA”.

Menurut laporan, bantahan itu turut diadakan serentak dengan beberapa siri perhimpunan “No Kings” di AS yang menentang perang serta dasar lebih meluas Presiden AS Donald Trump.

Seorang peserta, Paris Laftsis, 33 tahun, berkata para penunjuk perasaan di Greece menentang autoritarianisme dan peperangan, selain mengkritik institusi yang didakwa lebih mengutamakan persiapan ketenteraan berbanding keamanan.

Seorang pesara, Lisa Kalogeria, 69 tahun, pula menegaskan bahawa rakyat mahukan keamanan dan tidak mahu generasi muda dihantar ke luar negara untuk mempertahankan kepentingan kuasa besar.

“Kami mahukan keamanan. Kami juga menyokong hak rakyat menentukan masa depan sendiri serta mahu anak-anak kami terus tinggal dan hidup dengan baik di negara mereka, tanpa dipaksa mempertahankan kepentingan kuasa besar yang tidak berkaitan dengan kami,” katanya.

Sementara itu, seorang peguam, Christos Xagoraris, 26 tahun, berkata Greece tidak seharusnya terlibat dalam konflik berkenaan.

“Greece tidak mempunyai sebab untuk menyertai sebarang campur tangan ketenteraan di negara lain. Dasar luar negara kita selama ini bersifat defensif, namun kini cuba diubah oleh kerajaan, dan kami tidak akan membenarkannya,” tegasnya.- REUTERS