Protes anti-Jepun menjelang lawatan Presiden Korea Selatan ke Tokyo

Sekumpulan aktivis Korea Selatan mengadakan perhimpunan anti-Jepun di hadapan kompleks Presiden Korea Selatan/ REUTERS

SEOUL, 12 Januari – Sekumpulan aktivis Korea Selatan mengadakan perhimpunan anti-Jepun di hadapan kompleks presiden, Blue House, di sini pada Isnin, menjelang lawatan Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung ke Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aktivis Korea Selatan berhimpun anti-Jepun di hadapan Blue House menjelang lawatan Presiden Lee Jae Myung ke Jepun.
  • Protes mendesak kecaman terhadap Sanae Takaichi atas dakwaan penafian sejarah pencerobohan dan jenayah perang.
  • Penunjuk perasaan menuntut pengakuan, permohonan maaf dan perubahan substantif dari Jepun untuk memulihkan maruah mangsa.

Lee dijadual mengadakan sidang kemuncak dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi pada Selasa, sehari selepas pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping, ketika Seoul berusaha mengimbangi hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara jiran itu.

Kumpulan aktivis daripada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil berhimpun sambil melaungkan slogan dan mengangkat sepanduk, antaranya mendesak agar Takaichi dikecam kerana didakwa menafikan sejarah pencerobohan dan jenayah perang.

Sidang kemuncak yang akan berlangsung di wilayah asal Takaichi, Nara, turut memberi peluang kepada Presiden Lee membincangkan isu kerjasama serantau, selaras dengan ikrar untuk merancakkan pembangunan di kawasan luar Seoul.

Hubungan antara kedua-dua negara bagaimanapun masih dibelenggu ketegangan berpanjangan, khususnya berkaitan sejarah penjajahan Jepun ke atas Korea, termasuk layanan terhadap wanita Korea yang dipaksa menjadi hamba seks untuk tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Profesor Sosiologi Universiti Changing dan Pengerusi Majlis Korea bagi Keadilan dan Peringatan Isu Perhambaan Seks Tentera Jepun, Lee Na-young berkata, perhimpunan itu bertujuan menyuarakan kebimbangan dan amaran serius berhubung sidang kemuncak Korea Selatan–Jepun yang bakal berlangsung di Nara.

“Sanae Takaichi merupakan antara ahli politik Jepun berhaluan kanan paling ekstrem dan terkenal dengan penafian terhadap sejarah, sambil menegaskan bahawa isu kesalahan sejarah tidak langsung dibangkitkan dalam sidang kemuncak sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menggesa Presiden Lee Jae Myung supaya menuntut Jepun mengakui serta memohon maaf atas pemerintahan kolonial yang menyalahi undang-undang di Korea Selatan dan jenayah perang yang dilakukan, selain mendesak kerajaan Jepun melaksanakan perubahan substantif bagi memulihkan maruah mangsa jenayah perang.- REUTERS