ISTANBUL, 13 Oktober– Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Ahad menggesa Tel Aviv mematuhi komitmennya bawah perjanjian gencatan senjata Gaza yang baharu, lapor Anadolu Ajansi.
- Erdogan gesa Israel patuhi komitmen gencatan senjata Gaza dengan menekankan kepentingan perlaksanaan sebenar.
- Turkiye telah menghantar trak bantuan kemanusiaan; penghantaran mula tiba di wilayah Palestin.
- Bantuan dipertingkatkan dan perlu disegerakan sebelum musim sejuk untuk lindungi penduduk Gaza.
- Ankara berikrar terus memberikan sokongan dan usaha menyelamatkan penduduk dari tempat perlindungan sementara.
- Turkiye aktif berhubung dengan Rusia dan Ukraine, mahu perang berakhir segera dan mengutamakan keselamatan Laut Hitam.
“Kini ujian yang jauh lebih besar menanti dunia Islam dan umat manusia,” katanya semasa bercakap di bandar Trabzon di Laut Hitam.
Selain menyentuh mengenai bantuan kemanusiaan yang sedang dalam perjalanan ke Gaza di bawah perjanjian itu, Erdogan berkata usaha telah dipertingkatkan dan trak bantuan yang dihantar oleh Turkiye telah mula tiba di wilayah Palestin berkenaan.
Erdogan berkata langkah-langkah perlu diambil sebelum musim sejuk bermula, sambil menambah bahawa penduduk Gaza perlu diselamatkan daripada tempat perlindungan sementara dan berikrar bahawa Ankara akan terus memberikan sokongan.
Mengenai konflik Rusia-Ukraine yang akan memasuki tahun keempat, Erdogan menyuarakan harapan agar perang itu akan berakhir “secepat mungkin”, sambil menyatakan kesediaan untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi membantu menyelesaikannya.
Ankara sedang berhubung dengan kedua-dua Rusia dan Ukraine untuk menghentikan perang dan mewujudkan keamanan, kata presiden itu, sambil menambah bahawa Turkiye mengutamakan keselamatan di Laut Hitam. -BERNAMA