
BOGOTA, 28 Januari– Presiden Colombia, Gustavo Petro pada Selasa menegaskan bahawa bekas Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, yang digulingkan dan kini ditahan di Amerika Syarikat (AS), perlu dipulangkan ke negara itu untuk diadili oleh mahkamah Venezuela.
- Presiden Gustavo Petro desak pemulangan Nicolás Maduro dari AS untuk diadili di mahkamah Venezuela.
- Maduro kini ditahan di penjara New York selepas penangkapan dalam operasi di Caracas awal Januari.
- Permintaan Petro dibuat seminggu sebelum lawatan rasmi pertamanya ke Washington bersama Trump.
- Hubungan dengan AS tegang, termasuk tuduhan terhadap Petro dan sekatan visa serta penyenaraian OFAC.
Maduro kini ditahan di sebuah penjara di New York selepas ditangkap oleh pasukan AS dalam satu operasi di Caracas pada awal Januari.
Kenyataan Petro itu dibuat seminggu sebelum lawatan beliau ke Washington, di mana beliau dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi pertama dengan Trump sejak Presiden AS itu mengambil alih jawatan pada 2025, dalam suasana hubungan dua hala yang tegang.
Sebelum persetujuan pertemuan di White House dicapai, Trump beberapa kali menuduh Petro tanpa mengemukakan bukti, membenarkan aliran masuk kokain ke AS, selain menggelar pemimpin Colombia itu sebagai “seorang yang sakit”.
September lalu, AS menarik balik pengiktirafan terhadap usaha Colombia dalam memerangi dadah, sebelum membatalkan visa Petro selepas beliau menyertai satu demonstrasi pro-Palestin di New York dan menggesa anggota tentera AS supaya mengingkari arahan Trump.
Pada Oktober, Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Jabatan Perbendaharaan AS turut menyenaraikan Petro, isterinya, anak sulungnya serta Menteri Dalam Negeri Colombia, Armando Benedetti, sebagai individu yang dikaitkan dengan aktiviti atau dana hasil pengedaran dadah, pengubahan wang haram atau keganasan di bawah undang-undang AS. -REUTERS