PM Jepun umum bubar Parlimen minggu ini

 Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi/ AFP

TOKYO, 19 Januari – Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mengumumkan pada Isnin bahawa beliau akan membubarkan Parlimen pada minggu ini bagi membolehkan pilihan raya diadakan pada 8 Februari, dengan harapan mendapatkan mandat yang lebih kukuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Takaichi mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat dan jadualkan kempen serta pilihan raya minggu ini untuk mendapatkan mandat lebih kukuh.
  • Beliau berjanji pengecualian cukai makanan selama dua tahun jika dipilih, bertujuan meringankan beban akibat inflasi.
  • LDP kini hanya mempunyai majoriti tipis; kemenangan majoriti memberi ruang pelaksanaan dasar tanpa kompromi.

Takaichi, wanita pertama memegang jawatan perdana menteri di Jepun, berharap sokongan tinggi dalam satu tinjauan pendapat bagi membawa Parti Demokratik Liberal (LDP) meraih kemenangan.

“Adakah saya layak menjadi perdana menteri? Saya mahu menyerahkan keputusan kepada rakyat berdaulat”, katanya.

Beliau berkata Dewan Rakyat akan dibubarkan pada 23 Januari (Jumaat), diikuti kempen pilihan raya bermula 27 Januari (Isnin) sebelum pengundian dan pengiraan pada 8 Februari depan.

Jika terpilih, Takaichi berikrar untuk melaksanakan pengecualian cukai makanan selama dua tahun bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan inflasi.

Kabinet Takaichi meluluskan belanjawan berjumlah 122.3 trilion yen (AS$768 bilion) bagi tahun kewangan mulai April 2026, untuk menangani kos hidup yang meningkat dan mengukuhkan ekonomi negara itu.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk mengatasi belenggu penjimatan yang berlebihan dan mengambil tindakan segera terhadap krisis yang sedang dihadapi,” katanya kepada pemberita.

LDP telah mentadbir Jepun hampir tanpa gangguan selama beberapa dekad, walaupun sering mengalami pertukaran pemimpin. Namun, blok pemerintah, termasuk rakan gabungan Parti Inovasi Jepun (JIP), hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rendah Parlimen.

Prof. Sadafumi Kawato berkata jika LDP menang majoriti, Takaichi boleh melaksanakan dasar tanpa kompromi. Bagaimanapun, Jun Azumi dari Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDP) berkata langkah tersebut akan menjejaskan rakyat.-AFP