Persiapan misi 30 kontena bantuan Malaysia ke Gaza di peringkat akhir

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Alim Araby menunjukkan kotak bantuan yang telah siap untuk dimasukkan ke dalam kontena/Foto BERNAMA

KAHERAH, 11 April – Misi penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza kini berada di peringkat akhir persiapan sebelum digerakkan melalui sempadan Rafah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembungkusan giat oleh sukarelawan dan petugas di Gudang MAPIM Khair.
  • Penghantaran dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada perkembangan dan koordinasi semasa.
  • Menghantar 374 tan, 28,900 kotak makanan dan kit kebersihan, dijangka manfaat kira-kira 100,000 penduduk Gaza.

Proses pembungkusan giat dijalankan oleh sukarelawan dan petugas kemanusiaan di Gudang MAPIM Khair di Kaherah.

Ketua Pengarah misi berkenaan, Datuk Dr. Sany Arabi Abdul Alim Araby memaklumkan, penghantaran akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perkembangan situasi semasa.

“Ketika ini kita di peringkat akhir persiapan. Sebahagian kontena dijangka digerakkan terlebih dahulu, manakala selebihnya menyusul bergantung kepada koordinasi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau persiapan misi di Gudang MAPIM Khair, di sini.

Beliau menegaskan, misi itu tetap diteruskan meskipun berdepan cabaran susulan ketidaktentuan geopolitik dunia.

Para sukarelawan menyusun barangan bantuan untuk dimasukkan ke dalam kotak ketika persiapan akhir Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza 2026/Foto BERNAMA

Menurut Datuk Dr. Sany, walaupun gencatan senjata dimeterai, ia bukan jaminan kestabilan kerana masih terdapat sekatan di Rafah yang mengehadkan kemasukan bantuan.

Bagaimanapun, pengalaman lalu membuktikan misi bantuan masih boleh dilaksanakan dan dihantar kepada penduduk Gaza dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Seperti tahun 2024, Malaysia berjaya menghantar 100 kontena bantuan ke Gaza hasil kerjasama kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Usaha ini akan diteruskan bagi memastikan 30 kontena bantuan kali ini sampai kepada rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan Malaysia, Nik Abd Aziz Nik Mohd turut berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang misi itu terutama dalam aspek logistik.

“Cabaran pasti ada, khususnya dengan situasi konflik semasa yang meningkatkan risiko. Namun dengan koordinasi antara pihak terlibat, kami yakin bantuan ini akan sampai kepada penduduk di Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, wakil rakyat Gaza, Mahmoud Ghneim menzahirkan penghargaan terhadap usaha Malaysia membantu penduduk di wilayah itu.

Deretan kontena yang telah tersedia membawa barangan bantuan ketika persiapan akhir Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza 2026/Foto BERNAMA

Beliau yang juga Ketua Jabatan Projek Cinta Gaza Malaysia berkata, penglibatan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan ini memberi dorongan dan semangat kepada rakyat Gaza di tengah-tengah konflik ini.

“Sebagai rakyat Gaza, saya berasa bangga melihat rakyat Malaysia sanggup meninggalkan kehidupan mereka demi membantu kami dalam keadaan paling mencabar. Sokongan ini amat dihargai dan mencerminkan hubungan persaudaraan yang sangat rapat antara Gaza dan Malaysia,” katanya.

Misi kali ini melibatkan penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan seberat 374 tan.

Ia meliputi 28,900 kotak bantuan yang terdiri daripada bekalan makanan asas dan kit kebersihan.

Kesemua barangan tersebut dijangka memanfaatkan kira-kira 100,000 penduduk di Gaza.