
NEW DELHI, 23 Januari– Potensi perjanjian perdagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dan India dijangka meningkatkan eksport India, terutamanya sektor tekstil.
- Perniagaan antara EU dan India dijangka membuka pasaran lebih luas untuk tekstil, elektronik dan bahan kimia India.
- Perjanjian itu boleh meningkatkan eksport tekstil dan barang kemas India setelah rundingan dimuktamadkan dan diratifikasi.
- Industri automotif India mungkin terganggu disebabkan pengurangan tarif untuk kereta Eropah.
Bagaimanapun, menurut pakar dasar perdagangan, Abhijit Das pada Jumaat kerjasama itu juga akan memberi kesan negatif kepada industri automotif India.
India dan EU dijangka mengumumkan penyelesaian rundingan panjang bagi perjanjian perdagangan bebas pada Selasa ini (27 Januari), yang akan membuka laluan pengurangan tarif bagi kereta dan wain Eropah serta meluaskan pasaran untuk elektronik, tekstil dan bahan kimia India.
Menurut salah seorang sumber daripada kerajaan India, pengumuman itu berkemungkinan menyusul selepas pertemuan Perdana Menteri India, Narendra Modi, dengan Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, pada Sidang Kemuncak India-EU yang bermula 25 hingga 28 Januari ini.
“Sekiranya perjanjian itu dimuktamadkan dan diratifikasi oleh Parlimen Eropah, proses yang dijangka mengambil sekurang-kurangnya setahun, ia dijangka meningkatkan eksport India seperti tekstil dan barang kemas,” kata sumber sama.
Rundingan semula dimulakan pada 2022 selepas terhenti selama sembilan tahun dan mendapat momentum tahun lalu berikutan peningkatan ketegangan perdagangan. -REUTERS