Penduduk Jepun suarakan bantahan terhadap pangkalan tentera AS di Okinawa

FOTO REUTERS

JEPUN, 3 Februari – Sekumpulan rakyat Jepun berhimpun di hadapan Kementerian Pertahanan di Tokyo pada Isnin bagi menyuarakan bantahan terhadap peningkatan mendadak perbelanjaan pertahanan kerajaan serta usaha berterusan membina pangkalan tentera baharu Amerika Syarikat (AS) di Henoko, Okinawa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunjuk perasaan kecewa dengan dasar keselamatan Perdana Menteri Sanae Takaichi sejak mengambil alih jawatan.
  • Rakyat Okinawa menanggung beban besar akibat kehadiran pangkalan tentera AS.
  • Peserta bantahan risau pembinaan pangkalan baru Henoko boleh membawa Jepun ke arah peperangan.
  • Kebimbangan mengenai eksport senjata Jepun dan impak negatifnya pada keselamatan antarabangsa.

Rata-rata penunjuk perasaan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap dasar keselamatan semasa Perdana Menteri, Sanae Takaichi, serta beban berat yang ditanggung Okinawa akibat kewujudan pangkalan tentera.

Penunjuk perasaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap perubahan dasar keselamatan sejak Takaichi mengambil alih jawatan pada Oktober 2025, dan percaya kenyataan serta dasar kerajaan kini membawa masyarakat Jepun ke arah yang lebih berbahaya.

Seorang penunjuk perasaan yang enggan namanya didedahkan percaya kewujudan pangkalan tentera itu akan membawa Jepun ke arah peperangan.

“Saya percaya selagi pangkalan tentera dibina, ia akan membawa kita ke arah peperangan. Saya tidak mahu Okinawa terus menanggung beban,” katanya di sini.

Seorang lagi penunjuk perasaan percaya kewujudan pangkalan tersebut akan menimbulkan ketakutan kepada masyarakat dunia.

“Saya berasa sangat malu kerana Jepun terlibat dalam eksport senjata, dan saya percaya ia menimbulkan ketakutan kepada masyarakat dunia. Saya membantah keras eksport senjata serta usaha pentadbiran Takaichi yang seolah-olah mendorong ke arah peperangan,” katanya yang tidak mendedahkan namanya kepada media.

Pada sesi parlimen 7 November lalu, Takaichi berkata bahawa “penggunaan kekerasan terhadap Taiwan oleh tanah besar China” boleh dianggap sebagai “situasi yang mengancam kelangsungan hidup” Jepun, sekali gus membayangkan kemungkinan campur tangan ketenteraan di Selat Taiwan. -REUTERS