Pemimpin EU desak turunkan harga elektrik, lindungi industri

Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico (tengah) bercakap dalam sidang media bersama Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis dan Canselor Austria, Christian Stocker, di Bratislava, Slovakia/REUTERS

BRATISLAVA, 11 Februari– Kesatuan Eropah (EU) perlu mengambil tindakan segera menurunkan harga elektrik bagi melindungi daya saing sektor perindustrian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua negara EU menyeru tindakan segera untuk turunkan harga elektrik demi lindungi daya saing industri berat.
  • Negara bergantung industri menuntut dasar mengurangkan kos tenaga dan beban permit karbon ETS.
  • Permintaan untuk had maksimum harga permit karbon dan penangguhan ETS2 bagi kurangkan kos rumah dan bahan bakar.
  • Perbahasan rombakan skim permit CO2 percuma dan langkah sokong perniagaan, pelaburan serta pasaran tunggal.

Hasrat itu disuarakan Perdana Menteri Austria, Republik Czech dan Slovakia menjelang sidang kemuncak ekonomi blok itu pada Khamis.

Sidang kemuncak tidak rasmi akan diadakan di sebuah istana di Belgium untuk membincangkan cara EU bersaing dengan kuasa global seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

Republik Czech dan Slovakia, yang bergantung kepada industri berat, menekankan keperluan dasar bagi menurunkan kos tenaga.

Mereka juga mengkritik kos permit karbon yang perlu diperoleh atau dibeli syarikat di bawah Skim Perdagangan Pelepasan (ETS) EU.

Canselor Austria, Christian Stocker berkata harga gas asli menjadi pendorong utama kenaikan kos elektrik dan perlu diberi perhatian.

Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis, sedang melobi kerajaan EU lain supaya menyokong had maksimum harga permit karbon dalam ETS1 serta menangguhkan ETS2, yang bakal menambah kos pemanasan rumah dan bahan api kenderaan.

Dokumen dalaman yang dilihat Reuters menunjukkan EU sedang mempertimbangkan rombakan sistem pemberian permit CO2 percuma kepada industri untuk selaras dengan sasaran pengurangan pelepasan karbon 2040.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Eropah sedang menilai tiga pilihan bagi mengubah sistem ETS sedia ada, yang membolehkan industri menerima sebahagian permit percuma bagi mengurangkan kos pencemaran dan mengekalkan daya saing berbanding syarikat luar EU.

Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dijangka menggesa strategi EU untuk menyokong perniagaan, menarik pelaburan dan memperkukuh pasaran tunggal Eropah semasa sidang kemuncak itu. -REUTERS