
BEIJING, 16 Februari – Pemimpin dunia dan ketua organisasi antarabangsa mengutuskan ucapan tahniah kepada Presiden China Xi Jinping serta seluruh rakyat negara itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi Tahun Kuda, lapor Xinhua.
- Pemimpin dunia dan ketua NGO menghantar ucapan tahniah kepada Xi Jinping dan rakyat China sempena Tahun Baharu Cina.
- Kerjasama strategik China dengan negara seperti Rusia, Brazil dan Afrika Selatan terus diperkuatkan untuk keamanan dan pembangunan global.
- PBB dan pemimpin lain menghargai sokongan China terhadap multilateralisme serta komitmen kepada masa depan yang selamat dan inklusif.
Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan bahawa sepanjang tahun lalu, perkongsian strategik komprehensif Rusia-China bagi penyelarasan era baharu telah mengekalkan momentum yang baik, dan pada 2026, kedua-dua negara akan bersama-sama melancarkan “Tahun Pendidikan Rusia-China.”
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva menyuarakan kesediaan untuk terus memperluas kerjasama dengan China dan bekerjasama membina komuniti Brazil-China dengan masa depan dikongsi bersama demi dunia yang lebih adil dan planet yang lebih mampan.
Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata Afrika Selatan bersedia bekerjasama dengan China untuk memperkukuh lagi kerjasama serta menyumbang secara positif kepada keamanan dan pembangunan dunia.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Revolusi Rakyat Lao merangkap Presiden Laos Thongloun Sisoulith menzahirkan keyakinan bahawa rakyat China akan berjaya memulakan perjalanan baharu Rancangan Lima Tahun ke-15.
Presiden Serbia Aleksandar Vucic berkata di bawah kepimpinan Presiden Xi, China akan terus mencapai kejayaan luar biasa dalam pelbagai bidang.
Dalam satu mesej video, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berterima kasih kepada China dan rakyatnya atas sokongan terhadap multilateralisme serta solidariti global, dan berharap dapat membina masa depan yang lebih selamat dan inklusif bersama-sama.
Lebih 50 pemimpin negara lain dan ketua organisasi turut menghantar mesej ucapan tahniah kepada Xi sempena Tahun Baharu Cina. – BERNAMA-XINHUA