Peluru berpandu hujani Israel, Pentagon sedia pelan serangan darat ke Iran

Foto REUTERS

TEHRAN, 29 Mac – Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila Iran dan Israel saling berbalas serangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gelombang peluru berpandu melintasi ruang udara Israel, dilaporkan dilancarkan dari Iran.
  • Pentagon menyediakan pelan operasi darat ke Iran, termasuk kemungkinan serbuan Pulau Kharg dan pesisir berhampiran Selat Hormuz.
  • Operasi dirancang tumpu serbuan pasukan khas dan infantri; Trump belum luluskan penempatan, walau AS kata boleh capai tanpa tentera darat.

Manakala Amerika Syarikat dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah ketenteraan lanjut.

Gelombang peluru berpandu dilihat melintasi ruang udara Israel pada awal pagi Ahad dalam serangan yang didakwa dilancarkan dari Iran.

Sehari sebelumnya, Israel memaklumkan telah melancarkan beberapa siri serangan ke atas Tehran, menyasarkan infrastruktur milik kerajaan Iran.

Iran turut meneruskan serangan ke atas Israel dan beberapa negara Teluk selepas menyerang sebuah pangkalan udara di Arab Saudi pada Jumaat, yang mencederakan 12 anggota tentera Amerika Syarikat, termasuk dua parah.

Israel juga mengesahkan sebuah peluru berpandu dilancarkan ke arahnya dari Yaman pada Sabtu, namun tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pentagon dilaporkan sedang menyediakan pelan operasi darat selama beberapa minggu di Iran, termasuk kemungkinan serbuan ke atas Pulau Kharg dan kawasan pesisir berhampiran Selat Hormuz.

Bagaimanapun, Presiden Donald Trump masih belum meluluskan sebarang penempatan tentera, menurut media tempatan.

Laporan itu menyebut operasi yang dirancang tidak melibatkan pencerobohan berskala penuh, sebaliknya tertumpu kepada serbuan oleh pasukan operasi khas dan infantri.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menegaskan Washington mampu mencapai objektif tanpa penggunaan tentera darat, meskipun perancangan ketenteraan dilaporkan sudah berada pada tahap akhir. – AFP