
WASHINGTON, 17 Mac – Seorang pegawai kanan antikeganasan Amerika Syarikat meletak jawatan sebagai bantahan terhadap perang melibatkan AS dan Israel ke atas Iran, sambil menegaskan bahawa Tehran tidak menimbulkan ancaman segera kepada negara itu.
- Perang ini tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika, sebaliknya mengorbankan nyawa dan sumber negara.
- Dakwaan wujud kempen maklumat mengelirukan oleh pegawai Israel dan media tertentu yang mendorong sentimen pro-perang.
- Naratif Iran sebagai ancaman segera disamakan dengan alasan sebelum ini untuk perang Iraq, dan amaran tentang menghantar generasi akan datang berperang.
Pengarah Pusat Antikeganasan Kebangsaan (NCTC), Joseph Kent, dalam surat peletakan jawatannya kepada Presiden Donald Trump berkata beliau tidak dapat menyokong konflik berkenaan atas dasar prinsip.
“Iran tidak menimbulkan ancaman segera kepada negara kita, dan jelas bahawa perang ini dimulakan akibat tekanan daripada Israel serta lobi kuatnya di Amerika,” katanya.
Kent, 45, merupakan pegawai kanan pertama dalam pentadbiran Trump yang meletak jawatan sebagai bantahan terhadap perang tersebut.
Beliau yang juga bekas anggota pasukan elit Green Beret dengan pengalaman beberapa misi tempur turut menyatakan bahawa konflik berkenaan tidak memberi manfaat kepada rakyat Amerika, sebaliknya hanya mengorbankan nyawa dan sumber negara.
Dalam surat yang disiarkan di X, Kent turut mendakwa wujud kempen maklumat yang mengelirukan oleh pegawai Israel dan media tertentu di Amerika yang mendorong sentimen pro-perang serta mempengaruhi keputusan pentadbiran.
Menurutnya, naratif bahawa Iran merupakan ancaman segera adalah tidak tepat dan menyerupai alasan yang pernah digunakan untuk melibatkan AS dalam perang Iraq sebelum ini.
Kent sebelum ini berkhidmat di Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebagai pegawai paramilitari dan mengetuai NCTC yang berpangkalan di Virginia di bawah seliaan Pengarah Perisikan Negara, Tulsi Gabbard.
Beliau juga berkongsi pengalaman peribadi apabila isterinya, Shannon, yang turut berkhidmat dalam tentera AS, terbunuh dalam serangan bom berani mati di Syria pada 2019.
Kent menegaskan beliau tidak sanggup melihat generasi akan datang dihantar berperang dalam konflik yang disifatkannya tidak wajar serta tidak memberi kepentingan kepada rakyat Amerika. – AFP