
GENEVA, 10 April – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa ketidakjaminan makanan semakin meningkat di Lubnan, dengan harga barangan melonjak dan rantaian bekalan terganggu susulan serangan ketenteraan berterusan rejim Israel ke atas negara itu.
- Keseluruhan sistem makanan Lubnan kini terjejas akibat konflik, mengancam bekalan dan akses makanan kepada penduduk.
- Lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal, meningkatkan kerentanan dan tekanan terhadap sumber makanan serta perkhidmatan asas.
- Harga makanan melonjak; sayur naik lebih 20 peratus, roti meningkat sekitar 17 peratus dalam sebulan.
- WFP gerakkan 10 konvoi, bantu 40,000 hingga 60,000 orang, tetapi beberapa konvoi tidak dapat bergerak kerana faktor keselamatan.
Program Makanan Sedunia PBB (WFP) berkata keseluruhan sistem makanan di Lubnan kini terjejas akibat konflik, ketika Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas negara itu minggu ini.
Lebih sejuta penduduk di Lubnan kehilangan tempat tinggal akibat konflik itu, manakala Israel turut melancarkan pencerobohan darat di bahagian selatan negara tersebut.
“Apa yang sedang kita saksikan bukan sekadar krisis perpindahan penduduk, tetapi ia sedang pantas berubah menjadi krisis keselamatan makanan,” kata Pengarah Negara WFP di Lubnan, Allison Oman.
“Kita sudah pun melihat tanda-tanda jelas kenaikan harga makanan di seluruh Lubnan. Dalam tempoh hanya sebulan, harga sayur-sayuran melonjak lebih 20 peratus, manakala harga roti meningkat 17 peratus.
“Bagi keluarga yang sedia bergelut, keadaan ini amat membimbangkan,” tambahnya.
Sebelum 2 Mac, sekitar 900,000 orang di Lubnan berdepan ketidakjaminan makanan dan analisis terbaharu WFP yang dijangka dikeluarkan minggu depan menunjukkan jumlah itu dijangka terus meningkat, kata Oman.
Bercakap dari Beirut, beliau menggambarkan situasi membimbangkan yang dicetuskan oleh kenaikan harga, peningkatan permintaan dan gangguan pendapatan.
“Terdapat gangguan dalam rantaian bekalan dan keseluruhan sistem makanan telah menerima tamparan hebat,” kata Oman dalam satu sidang media di Geneva.
Petani di selatan Lubnan tidak dapat mengusahakan ladang mereka, manakala kenaikan harga bahan api global serta kesukaran mendapatkan baja turut memberi kesan.
Oman berkata, 10 konvoi WFP telah digerakkan untuk membantu penduduk yang memerlukan di Lubnan sejak 2 Mac, melibatkan bantuan kepada antara 40,000 hingga 60,000 orang, namun beberapa konvoi lain tidak dapat bergerak atas faktor keselamatan.##