Pastikan pelayaran di Selat Hormuz tidak terhalang – China

Beijing sedia bekerjasama dengan semua pihak, pastikan keselamatan tenaga dan bekalan

BEIJING, 13 April – China menggesa agar pelayaran melalui Selat Hormuz tidak dihalang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan antarabangsa penting bagi barangan dan tenaga.
  • Menjaga keselamatan, kestabilan serta aliran yang tidak terhalang di laluan strategik itu demi kepentingan bersama.
  • Beijing menegaskan kesediaan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keselamatan tenaga dan bekalan.
  • Tentera AS umum sekatan terhadap trafik maritim masuk dan keluar pelabuhan Iran; trafik ke dan dari pelabuhan bukan Iran tidak dihalang.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun menegaskan, Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan antarabangsa yang penting bagi barangan dan tenaga.

Langkah mengekalkan keselamatan, kestabilan serta aliran yang tidak terhalang di laluan strategik itu adalah demi kepentingan bersama komuniti antarabangsa.

Kenyataan itu dibuat dalam sidang media harian, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas laluan perairan penting itu, susulan kegagalan rundingan dengan Iran.

Beliau turut menekankan kesediaan Beijing untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keselamatan tenaga dan bekalan.

Tentera Amerika dilaporkan berkata, sekatan akan dilaksanakan terhadap semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan serta kawasan pesisir Iran bermula pada Isnin, pukul 10 pagi waktu Timur.

“Kapal yang melalui Selat Hormuz dari dan ke pelabuhan bukan Iran tidak akan dihalang”, kata tentera AS.

Pada Ahad, Trump dipetik sebagai berkata, tentera Amerika juga akan memintas setiap kapal di perairan antarabangsa yang telah membayar tol kepada Iran. -REUTERS