Parlimen Myanmar bersidang semula buat kali pertama sejak rampasan kuasa 2021

Parlimen Myanmar bersdiang buat kali pertama sejak 2021/ AFP

NAYPYIDAW, 16 Mac – Parlimen Myanmar bersidang semula pada Isnin buat kali pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majoriti kerusi diduduki ahli parlimen pro-junta hasil pilihan raya yang dikendalikan tentera, menurut wartawan AFP.
  • Sekumpulan ahli parlimen 2020 dalam buangan mengadakan persidangan tandingan, menegaskan Kerajaan Perpaduan Nasional masih kerajaan sah.
  • Pakar hak asasi PBB Tom Andrews berkata kerajaan baharu tetap dikawal tentera, digambarkan sebagai "junta tentera dalam pakaian awam".

Majoriti kerusi diisi ahli parlimen projunta yang dipilih menerusi pilihan raya yang dikendalikan pihak tentera, menurut wartawan AFP.

Persidangan Dewan Rakyat bermula pada pagi Isnin di Naypyidaw, dengan pemimpin Khin Yi daripada Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) dipilih sebagai Yang Di-Pertua Dewan.

Sebahagian besar ahli parlimen terdiri daripada anggota parti protentera manakala selebihnya adalah wakil angkatan tentera yang diperuntukkan satu perempat daripada kerusi parlimen berdasarkan perlembagaan negara tersebut.

Pilihan raya terakhir pada 2020 menyaksikan kemenangan besar parti pimpinan Aung San Suu Kyi, namun pihak junta mendakwa berlaku penipuan undi secara besar-besaran sebelum membatalkan keputusan tersebut.

Suu Kyi yang juga penerima Hadiah Keamanan Nobel kemudian ditahan dan partinya dibubarkan, sekali gus mencetuskan perang saudara di negara itu.

Selepas lima tahun pemerintahan tentera, junta menganjurkan semula pilihan raya secara berperingkat pada Disember dan Januari lalu.

Pemerhati demokrasi menyifatkan proses itu dikawal ketat dengan larangan terhadap kritikan serta melibatkan sekutu politik tentera.

Serentak dengan persidangan tersebut, sekumpulan ahli parlimen yang dipilih pada pilihan raya 2020 yang berada dalam buangan turut mengadakan persidangan sambil menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan Nasional masih merupakan kerajaan sah Myanmar.

Pemangku Presiden kerajaan bayangan itu, Duwa Lashi La, menyifatkan pilihan raya berkenaan sebagai cubaan memperdaya rakyat melalui perwakilan palsu.

“Kami menyaksikan percubaan untuk mengelirukan orang ramai melalui pilihan raya palsu ini,” katanya dalam satu mesyuarat dalam talian kerajaan bayangan itu.

Pilihan raya tersebut juga tidak dijalankan di kawasan luas yang dikuasai kumpulan pemberontak, menyebabkan penganalisis melihat barisan ahli parlimen baharu sebagai proksi tentera bagi memberi gambaran seolah-olah pemerintahan mereka sah.

Ketua junta, Min Aung Hlaing, dilaporkan berkemungkinan meninggalkan jawatan ketenteraan untuk memegang jawatan presiden apabila kerajaan baharu dibentuk bulan depan.

Presiden Myanmar akan dipilih melalui undian bersama kedua-dua dewan parlimen, yang kini didominasi ahli parlimen protentera atau anggota tentera sendiri.

Bagaimanapun, Khin Yi berkata sukar untuk meramalkan siapa yang akan dipilih sebagai presiden negara itu.

Sementara itu, pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Myanmar, Tom Andrews, menyatakan pemerintahan baharu itu pada hakikatnya masih berada di bawah kawalan tentera.

Menurutnya, kerajaan yang bakal dibentuk hanya akan menjadi “pemerintahan junta tentera dalam pakaian awam”.

Tentera Myanmar telah memerintah negara itu sepanjang sebahagian besar sejarah selepas kemerdekaan sebelum tempoh pembaharuan demokrasi selama kira-kira sedekad yang menyaksikan Suu Kyi memimpin kerajaan awam.

Namun, penganalisis berpendapat rampasan kuasa pada 2021 dilakukan selepas tentera bimbang pengaruh mereka semakin merosot berbanding gerakan politik Suu Kyi yang mendapat sokongan luas rakyat. – AFP