
ISLAMABAD, 7 Mac – Pakistan menaikkan harga petrol dan diesel hampir 20 peratus pada Jumaat, susulan lonjakan harga minyak global akibat konflik di Iran.
- Menteri umum kenaikan 55 rupee seliter; diesel 321.17 rupee, petrol 335.86 rupee.
- Langkah dijangka menaikkan kadar inflasi dan menambah tekanan kepada rakyat yang sudah menghadapi kos sara hidup tinggi.
- Stesen di bandar utama diserbu sehingga beratur panjang; bekalan terganggu; kerajaan akan menyemak harga mingguan.
Menteri Petroleum Pakistan, Ali Pervaiz Malik dalam mesej video yang disiarkan di televisyen mengumumkan kenaikan sebanyak 55 rupee (AS$0.20 seliter), menjadikan harga diesel meningkat kepada 321.17 rupee seliter manakala petrol kepada 335.86 rupee seliter.
Jelas beliau, keputusan itu terpaksa diambil berikutan kenaikan mendadak harga petroleum di pasaran global.
Langkah berkenaan dijangka memberi kesan kepada kadar inflasi serta menambah tekanan terhadap rakyat Pakistan yang berdepan kos sara hidup tinggi.
Sebelum pengumuman dibuat, stesen minyak di bandar utama seperti Lahore dan Karachi dilaporkan dipenuhi orang ramai yang beratur panjang untuk mengisi minyak.
Seorang pekerja stesen minyak di Islamabad, Mohammad Zaheer berkata bekalan petrol di premisnya hampir habis selepas bekalan tidak tiba sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Mohammad Yousuf berkata kenaikan harga itu akan menyebabkan harga barangan lain turut meningkat.
Pakistan mengimport sebahagian besar minyak dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu melalui Selat Hormuz.
Kerajaan Pakistan memaklumkan harga bahan bakar tersebut akan disemak setiap minggu. – REUTERS