Pakistan dan Afghanistan henti pertempuran sempena Aidilfitri

 Pemeriksaan keselamatan di salah sebuah masjid di Islamabad/Foto AFP

ISLAMABAD, 21 Mac – Pakistan dan Afghanistan pada Rabu lalu mengumumkan untuk menghentikan pertempuran semasa sambutan Aidilfitri, selepas ketegangan semakin memuncak antara dua negara yang mengorbankan ratusan orang di Kabul awal minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arab Saudi, Qatar dan Turki meminta penghentian pertempuran; Islamabad dan Kabul bersetuju.
  • Serangan rentas sempadan meningkat; Pakistan menuduh Taliban melindungi ekstremis, namun Kabul menafikan.
  • Jet Pakistan menyerang pusat pemulihan di ibu negara Afghanistan, mencetuskan gesaan rundingan dan penghentian serangan.

Pentadbiran Islamabad dan Kabul dalam kenyataan berasingan memaklumkan Arab Saudi, Qatar dan Turki telah meminta supaya pertempuran dihentikan sementara semasa Aidilfitri, dan kedua kerajaan bersetuju.

Serangan rentas sempadan semakin meningkat sejak bulan lalu, dan Islamabad menuduh pihak berkuasa Taliban melindungi golongan ekstremis di sebalik keganasan di wilayahnya.

Bagaimanapun, Kabul menafikan dakwaan tersebut.

Pada malam Isnin lalu, jet Pakistan menyerang sebuah pusat pemulihan dadah di ibu negara Afghanistan, mencetuskan gesaan baharu agar serangan dihentikan serta-merta dan rundingan diadakan bagi menamatkan pertumpahan darah.

Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar, berkata kerajaan bersetuju untuk menghentikan operasinya dari Khamis hingga Isnin “dengan niat baik dan selaras dengan norma-norma Islam”.

“Sekiranya berlaku sebarang serangan rentas sempadan, serangan dron atau apa-apa insiden keganasan di dalam Pakistan, operasi akan disambung semula serta-merta dengan intensiti yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata mempertahankan Afghanistan adalah “tanggungjawab nasional dan agama” dan negara itu akan bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan atau ancaman – AFP