
TEHRAN, 12 Mac – Iran melancarkan gelombang ke-40 serangan di bawah operasi “True Promise 4” yang menyasarkan Israel serta beberapa kemudahan tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, ketika Israel turut melancarkan serangan udara baharu ke atas ibu negara Iran dan kawasan barat negara itu.
- IRGC berkata serangan dijalankan bersama Hezbollah dari Lubnan dan berlangsung kira-kira lima jam.
- Serangan menyasarkan lebih 50 lokasi di Israel serta pangkalan tentera AS di Jordan dan Arab Saudi.
- Siren amaran diaktifkan di kawasan tengah, selatan dan sekitar Jerusalem selepas sistem pertahanan mengesan peluru berpandu.
- Israel memulakan satu lagi gelombang serangan udara; Iran kemudian lancar beberapa gelombang peluru berpandu dan dron menumpu aset Israel dan AS.
Menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), serangan terbaharu itu dijalankan secara bersama dengan kumpulan bersenjata Hezbollah dari Lubnan dan berlangsung kira-kira lima jam.
Serangan berkenaan dilaporkan menyasarkan lebih 50 lokasi di Israel selain pangkalan tentera AS di Jordan dan Arab Saudi.
Sementara itu, tentera Zionis memaklumkan bahawa siren amaran diaktifkan di beberapa kawasan tengah dan selatan serta sekitar Jerusalem selepas sistem pertahanan udara mengesan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran dan Lubnan pada awal pagi Khamis.
Rakaman visual menunjukkan peluru berpandu pemintas dilancarkan daripada sistem pertahanan udara Israel di ruang udara Jerusalem, dengan beberapa letupan kedengaran.
Zionis turut memaklumkan bahawa mereka memulakan satu lagi gelombang serangan udara berskala besar terhadap Iran pada awal Khamis.
Pada 28 Februari lalu, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran serta beberapa bandar lain di Iran yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei, bersama beberapa komander kanan tentera dan orang awam.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan aset Israel dan AS di seluruh Asia Barat. – REUTERS