Operasi kemanusiaan PBB di Gaza diteruskan walaupun berdepan halangan

Penduduk berlindung di khemah-khemah perlindungan di Gaza / AFP

HAMILTON, 21 Januari -Operasi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza masih diteruskan walaupun berdepan halangan harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • PBB dan rakan kemanusiaan terus membantu penduduk Gaza walaupun operasi terjejas oleh halangan harian.
  • Ribut minggu lalu merosakkan kira-kira 80 lokasi pemindahan, menjejaskan perlindungan ramai yang terjejas.
  • Lebih 4,000 tempat perlindungan keluarga dilaporkan rosak atau musnah, memerlukan bantuan segera.
  • OCHA menegaskan perlindungan awam, pemindahan selamat dan hak pulang mesti dipastikan.

Ia termasuk kerosakan besar akibat ribut serta arahan pemindahan baharu oleh Israel di beberapa kawasan Khan Yunis.

Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, PBB dan rakan kemanusiaan terus membantu penduduk yang memerlukan, walaupun skala dan kelajuan operasi terjejas.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), beliau berkata, ribut minggu lalu menjejaskan kira-kira 80 lokasi pemindahan di Gaza.

Sekurang-kurangnya 4,000 tempat perlindungan keluarga dilaporkan rosak atau musnah.

Menurutnya, lebih 660 keluarga menerima bantuan kecemasan termasuk makanan, khemah dan kanvas pelindung.

Haq menegaskan keperluan segera penyelesaian perlindungan yang lebih mampan, termasuk pembaikan rumah rosak serta pemulihan sistem air dan sanitasi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu di Bani Suheila dan Khan Yunis Timur.

OCHA menganggarkan lebih 400 keluarga masih berada di kawasan terlibat.

“OCHA menegaskan orang awam mesti dilindungi, dibenarkan berpindah dengan selamat dan pulang semula apabila keadaan mengizinkan,” katanya.