
GAZA, 15 Februari – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin mengecam tindakan yang didakwa sebagai perbuatan membalas dendam yang dilakukan rejim Zionis Israel susulan penularan video yang memaparkan Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir di sebuah penjara tentera.
- NGO Palestin mengecam tindakan yang didakwa sebagai balas dendam oleh rejim Israel terhadap tahanan selepas video penjara disiarkan.
- Rakaman menunjukkan polis menyerbu lorong, menggunakan stun grenades dan menarik keluar tahanan dengan tangan bergari, memaksa mereka meniarap.
- Ketua Kelab Tahanan mendakwa tindakan itu sebahagian usaha berterusan membalas dendam dan menjejaskan hak asasi serta sistem perundangan.
Rakaman pada Jumaat dan disiarkan media Israel, Channel 7 menunjukkan kira-kira 20 anggota polis menyerbu lorong menuju ke sel penjara sambil mengacukan senjata serta melepaskan bom pegun (stun grenades).
Mereka kemudian menarik keluar lima tahanan dari sel masing-masing dengan tangan digari ke belakang sebelum memaksa mereka meniarap di lantai.
Ketua Kelab Tahanan Palestin, Abdallah al-Zaghari, berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membalas dendam terhadap tahanan Palestin.
“Semua yang dilakukan oleh Ben Gvir dan kerajaan berhaluan kanan bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat Palestin dan tahanan di kem tahanan, malah turut menjejaskan sistem perundangan dan hak asasi manusia global,” katanya.
Kumpulan hak asasi antarabangsa sebelum ini berulang kali memberi amaran mengenai dakwaan penderaan dan layanan buruk tahanan Palestin di penjara Israel sejak serangan pada 7 Oktober 2023. AFP