Negara Arab kecam pelan Israel di Tebing Barat

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 16 Februari -Negara-negara Arab mengecam tindakan Israel meluluskan proses pendaftaran tanah di Tebing Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negara Arab mengecam pelan pendaftaran tanah Israel di Tebing Barat sebagai rampasan tanah besar-besaran yang mempercepatkan pengambilalihan wilayah Palestin.
  • Israel mendakwa tujuan pendaftaran ialah menjelaskan hak dan menyelesaikan pertikaian undang-undang secara telus.
  • Mesir, Qatar dan Jordan menilai tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan mengukuhkan kawalan Israel ke atas Palestin.
  • Pihak Berkuasa Palestin dan kumpulan pemantau menyifatkan langkah itu sebagai permulaan pengilhakan dan usaha melemahkan asas negara Palestin.

Mereka menyifatkannya sebagai “rampasan tanah besar-besaran” yang boleh mempercepatkan proses mengambil alih wilayah Palestin.

Kementerian Luar Israel mendakwa langkah itu bertujuan membolehkan “penjelasan hak secara telus dan menyeluruh bagi menyelesaikan pertikaian undang-undang”, serta diperlukan susulan pendaftaran tanah yang didakwa tidak sah di kawasan bawah kawalan Palestinian Authority.

Mesir, Qatar dan Jordan mengkritik langkah tersebut sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, kerajaan Mesir menyifatkan keputusan itu sebagai “peningkatan berbahaya yang bertujuan mengukuhkan kawalan Israel ke atas wilayah Palestin.

Kementerian Luar Qatar pula mengecam “keputusan menukar tanah di Tebing Barat yang dilihat ‘harta negara’,” sambil menegaskan ia akan “merampas hak rakyat Palestin”.

Pihak Berkuasa Palestin menggesa campur tangan antarabangsa bagi menghalang tindakan itu yang disifatkannya sebagai “permulaan de facto proses pengilhakan dan usaha melemahkan asas negara Palestin”.

Sementara itu, kumpulan pemantau anti-penempatan Israel, Peace Now, menyifatkan langkah yang diluluskan pada Ahad itu sebagai “rampasan tanah mega”. – AFP