Nawaf Salam tekad pastikan pengunduran tentera Israel di Lubnan

Foto REUTERS

BEIRUT, 13 April– Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, dalam ucapan televisyen pada Ahad (12 April) menegaskan komitmen beliau untuk menghentikan peperangan antara Israel dan Hizbullah serta memastikan pengunduran tentera rejim dari seluruh wilayah Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan damai dijadualkan di Washington, melibatkan pegawai dari Lubnan, Israel dan Amerika Syarikat.
  • Kementerian Kesihatan Lubnan lapor enam maut, termasuk paramedik Palang Merah; ambulans jadi sasaran serangan Israel.
  • UNIFIL lapor tentera Israel merempuh kenderaan mereka dua kali, menyebabkan kerosakan besar.
  • Korban di Lubnan meningkat kepada 2,055 maut sejak 2 Mac, termasuk 165 kanak-kanak dan 87 petugas kesihatan.

Kenyataan itu dibuat menjelang rundingan damai yang dijadualkan berlangsung di Washington pada Selasa ini melibatkan pegawai dari Lubnan, Israel dan Amerika Syarikat.

Situasi di lapangan terus meruncing apabila Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya enam maut pada Ahad (12 April), termasuk seorang paramedik Palang Merah selepas ambulans mereka menjadi sasaran serangan Israel.

Rejim Zionis sebelum ini berulang kali menuduh Hizbullah menggunakan ambulans dan kemudahan hospital bagi tujuan ketenteraan.

Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) turut melaporkan tindakan provokasi tentera Israel yang merempuh kenderaan mereka sebanyak dua kali sehingga menyebabkan kerosakan besar.

Israel mendakwa gencatan senjata sementara yang sedang berkuat kuasa di Asia Barat tidak terpakai bagi operasinya terhadap Hizbullah di Lubnan.

Setakat ini, angka korban di Lubnan telah meningkat kepada 2,055 orang maut sejak 2 Mac lalu, merangkumi 165 kanak-kanak dan 87 petugas kesihatan. -AFP