
WASHINGTON, 30 Mac – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesahkan kesiapsiagaan penuh bagi misi Artemis II, iaitu misi berawak pertama ke Bulan dalam tempoh lebih lima dekad.
- Keempat-empat angkasawan tiba di Florida, memasuki fasa akhir persediaan menjelang pelancaran dijangka seawal 1 April.
- Misi melibatkan Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch dan angkasawan Kanada Jeremy Hansen.
- Kapsul Orion akan membawa kru selama kira-kira 10 hari, mengelilingi Bulan sebelum kembali ke Bumi.
- Tiada pendaratan, misi menguji sokongan hayat, navigasi, komunikasi dan ketahanan haba kapsul Orion.
Pegawai pentadbiran bersekutu NASA, Lori Glaze berkata semua sistem termasuk penerbangan, operasi pelancaran serta pasukan kawalan misi berada pada tahap siap siaga.
Empat angkasawan yang dipilih bagi misi itu tiba di Florida Jumaat lalu, memasuki fasa akhir persediaan menjelang pelancaran yang dijangka seawal 1 April dari Pusat Angkasa Kennedy.
Misi berkenaan melibatkan angkasawan NASA Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch serta angkasawan Agensi Angkasa Kanada, Jeremy Hansen.
Mereka akan menaiki kapsul Orion bagi misi selama kira-kira 10 hari, yang akan membawa kru mengelilingi Bulan sebelum kembali ke Bumi.
Walaupun tidak melibatkan pendaratan di Bulan, misi ini akan menguji sistem sokongan hayat, navigasi, komunikasi serta ketahanan haba kapsul Orion.
Selain itu, misi ini turut menghantar manusia paling jauh dari Bumi dalam sejarah penerbangan angkasa moden.
Victor Glover dijangka menjadi angkasawan kulit hitam pertama menghampiri Bulan, manakala Christina Koch akan menjadi wanita pertama melakukannya dan Jeremy Hansen pula angkasawan bukan rakyat Amerika pertama melepasi orbit rendah Bumi.
Kesemua kru kecuali Hansen pernah ke angkasa sebelum ini dan telah menjalani latihan lebih dua tahun sejak diumumkan pada 2023, termasuk kuarantin pra-penerbangan sejak 18 Mac lalu. – REUTERS