Nahas kereta api: 39 maut, 200 perjalanan dibatalkan di Madrid

Foto REUTERS

MADRID, 19 Januari – Lebih 200 perjalanan kereta api antara Madrid dan wilayah selatan Andalusia, termasuk bandar utama Cordoba, Seville dan Granada, dibatalkan pada Isnin, susulan nahas maut kereta api berkelajuan tinggi pada malam Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • 39 orang terbunuh dan 152 cedera akibat pertembungan antara dua kereta api berkelajuan tinggi dekat Adamuz, Cordoba.
  • Lebih 200 perjalanan kereta api antara Madrid dan Selatan Andalusia dibatalkan, menjejaskan perkhidmatan ke Cordoba, Seville dan Granada.
  • Menteri Pengangkutan Oscar Puente mengesahkan siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca kemalangan.

Paparan skrin di Stesen Atocha, Madrid pada awal pagi Isnin menunjukkan sejumlah perjalanan dibatalkan, sementara puluhan penumpang dilihat mendapatkan maklumat di kaunter syarikat kereta api Iryo dan Renfe.

Jumlah korban dalam tragedi itu meningkat kepada 39 orang, manakala 152 lagi cedera, menurut laporan penyiar nasional RTVE (Radio Television Espanola) yang memetik sumber polis.

Insiden tragis itu membabitkan sebuah kereta api berkelajuan tinggi yang tergelincir sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta api dari arah bertentangan.

Kemalangan berlaku pada pukul 7.45 malam waktu tempatan (1845 GMT) berhampiran Adamuz di wilayah Cordoba, kira-kira 360 kilometer ke selatan ibu negara, Madrid.

Dua tren berkenaan membawa kira-kira 400 penumpang, kebanyakan rakyat Sepanyol yang dalam perjalanan ke dan dari Madrid selepas cuti hujung minggu.

Namun, maklumat sama ada pelancong asing turut berada di dalam kereta api masih belum dapat dipastikan, berikutan Januari bukan musim pelancongan.

Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente menerusi sidang media di stesen Atocha berkata punca kemalangan masih dalam siasatan.-REUTERS