Museveni kekal berkuasa selepas menang pilihan raya ketujuh

Presiden Uganda, Yoweri Museveni / AFP

KAMPALA, 17 Januari – Presiden Uganda, Yoweri Museveni, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemimpin paling lama berkuasa di dunia selepas memenangi pilihan raya ketujuh pada Sabtu meskipun telah memerintah negara itu hampir empat dekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Museveni mengekalkan kuasa selepas memenangi pilihan raya ketujuh, mengukuhkan kekuasaannya selama hampir empat dekad.
  • Beliau menggabungkan kuasa negara dan NRM, menjadikan pembangkang sukar memberi cabaran politik sebenar.
  • Walaupun berdepan kritikan antarabangsa kerana penindasan politik dan undang-undang kontroversi, beliau kekal relevan politiknya.
  • Pada usia 81, Museveni menegaskan kesegaran untuk terus memimpin walaupun pernah menyatakan hasrat untuk bersara.

Museveni mengambil alih tampuk pemerintahan pada 1986 selepas menamatkan era keganasan dan ketidakstabilan di bawah pemerintahan kuku besi sebelum itu. Ketika awal kepimpinannya, beliau pernah menyuarakan pandangan bahawa pemimpin yang terlalu lama berkuasa merupakan punca utama masalah di Afrika.

Namun selepas hampir 40 tahun, Museveni yang suatu ketika dahulu dipuji Barat sebagai contoh pemimpin Afrika berteraskan tadbir urus baik, kini berada dalam kelompok pemimpin yang pernah beliau kritik, susulan penguasaan politik yang semakin ketat.

Sepanjang pemerintahannya, Museveni dilihat menggabungkan kuasa negara dan parti pemerintah, Parti Pergerakan Penentangan Nasional (NRM), selain mengekang pembangkang sehingga cabaran politik sebenar terhadapnya hampir mustahil berlaku.

Pada usia 81 tahun, meskipun ada pihak mempertikaikan umur sebenarnya, Museveni menegaskan dirinya masih cergas untuk terus memimpin, walaupun pernah menyatakan hasrat untuk bersara dan menumpukan kehidupan sebagai penternak lembu Ankole.

Museveni dilahirkan pada 15 September 1944 di Daerah Ntungamo, barat daya Uganda dan mendapat pendidikan di Universiti Dar es Salaam, Tanzania, yang ketika itu menjadi pusat pemikiran antipenjajahan di Afrika Timur.

Beliau kembali ke arena politik melalui perjuangan bersenjata selepas pilihan raya 1980 yang didakwa dimanipulasi, mengetuai Perang Belukar Uganda sebelum berjaya menawan Kampala pada 1986 dan seterusnya memenangi siri pilihan raya hingga kini.

Walaupun berlatarbelakangkan ideologi radikal, Museveni menampilkan pendekatan pragmatik dengan melaksanakan pembaharuan ekonomi serta menjadi rakan strategik ketenteraan kepada Barat, namun terus berdepan kritikan antarabangsa berkaitan penindasan politik dan undang-undang sosial yang kontroversi.-AFP