Mozambique-TotalEnergies berkerjasama, bangunkan projek LNG yang tergendala

Foto REUTERS

AFUNGI, 31 Januari– Mozambique dan syarikat tenaga Perancis, TotalEnergies bersetuju pada Khamis (29 Januari) untuk meneruskan pembinaan projek gas asli cecair (LNG) bernilai $20 bilion di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mozambique dan TotalEnergies bersetuju meneruskan pembinaan projek LNG bernilai $20 bilion walaupun rundingan kos tambahan berjalan.
  • Projek itu dijangka hasilkan 13 juta tan metrik setahun dan menjadikan Mozambique pengeksport gas utama, memberi impak besar ekonomi.
  • Projek menghadapi cabaran keselamatan, kewangan dan hak asasi manusia yang menakutkan sesetengah pelabur.

Persetujuan itu kekal dilaksana meskipun rundingan mengenai kos tambahan akibat kelewatan, masih berjalan.

Pembinaan projek dihentikan pada 2021 selepas serangan pemberontak di wilayah utara Cabo Delgado, lokasi projek tersebut.

TotalEnergies, yang telah mengambil bahagian ekuiti tambahan selepas beberapa rakan kongsi menarik diri berkata akhir tahun lalu ia bersedia menyambung kerja pembinaan.

Syarikat itu juga menyumbang 200 juta metical ($3.2 juta) bagi membantu Mozambique menangani kesan banjir baru-baru ini.

Projek berkenaan dijangka menghasilkan 13 juta tan metrik LNG setahun dan akan menjadikan Mozambique sebagai pengeksport gas utama, selain memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun, projek tersebut menghadapi isu keselamatan, kewangan dan hak asasi manusia yang menakutkan sesetengah pelabur.

Oktober lalu, TotalEnergies memaklumkan kepada Presiden Mozambique, Daniel Francisco Chapo, bahawa kos projek meningkat kira-kira $4.5 bilion semasa pembekuan.

Konsortium itu mahu tempoh pembangunan dan pengeluaran dilanjutkan 10 tahun sebagai sebahagian pampasan.

Setakat ini, TotalEnergies telah melatih sekitar 4,500 pekerja, termasuk 1,500 orang muda di Palma, berhampiran tapak projek, dalam bidang pertukangan, elektrik dan kemahiran lain. -REUTERS