Mesir gesa Israel undur dari Gaza, buka semula pintu sempadan Rafah

Keadaan bumi Gaza yang hancur teruk selepas serangan udara tentera Zionis Israel/foto AFP

KAHERAH, 25 Januari – Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, menggesa pengunduran tentera Israel dari Gaza dan pembukaan semula pintu sempadan Rafah di bawah perjanjian gencatan senjata tahun lepas, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesir menggesa pengunduran tentera Israel dari Gaza menurut perjanjian gencatan senjata.
  • Meminta pembukaan semula lintasan Rafah dua hala untuk membolehkan pemulihan dan pembinaan semula.
  • Seruan untuk penempatan segera pasukan penstabilan antarabangsa bagi memantau gencatan senjata.
  • Perbincangan Mesir-AS melibatkan pelaksanaan fasa kedua pelan Trump dan sokongan jawatankuasa nasional untuk Gaza.

Gesaan itu dibuat pada Ahad semasa pertemuan Abdelatty dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Christopher Landau, di Kaherah bagi membincangkan hubungan dua hala dan perkembangan serantau.

Kedua-dua diplomat itu meninjau kaedah untuk memperkukuh perkongsian strategik antara Mesir dan AS serta cara membangunkan hubungan dua hala dalam bidang politik dan ekonomi, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Perbincangan itu turut menyentuh mengenai perkembangan di Gaza, Sudan, rantau Tanduk Afrika dan keselamatan air Mesir.

Abdelatty menyambut baik penyertaan Mesir ke dalam Lembaga Keamanan cetusan Presiden AS, Donald Trump.

Lembaga itu merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang bertujuan mempromosikan kestabilan, mewujudkan semula tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang, serta memastikan keamanan yang berterusan di kawasan yang terjejas atau terancam oleh konflik, mengikut piagamnya.

Abdelatty menekankan kepentingan melaksanakan kewajipan fasa kedua pelan Trump mengenai Gaza, menyokong jawatankuasa nasional yang ditugaskan untuk menguruskan Gaza, serta penempatan segera pasukan penstabilan antarabangsa bagi memantau gencatan senjata.

Beliau turut menegaskan keperluan untuk membuka semula lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir bagi kedua-dua arah serta mencapai pengunduran Israel dari Gaza bagi membuka jalan kepada pemulihan awal dan pembinaan semula, menurut kenyataan itu.

Pelan gencatan senjata itu menghentikan perang dua tahun Israel ke atas Gaza, yang telah mengorbankan lebih 71,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023. – BERNAMA-ANADOLU

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan