Malawi isytihar wabak polio

Anggota kesihatan memberikan dos vaksin polio kepada seorang kanak-kanak di Chilinde, Lilongwe, Malawi pada 21 Mac 2022/AFP

LILONGWE, 1 Februari- Kerajaan Malawi mengisytiharkan wabak virus polio jenis 2 (cVDPV2) di dlam negara susulan pengesanannya dalam sampel persekitaran, lapor Anadolu Ajansi memetik pegawai Kementerian Kesihatan Malawi pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Malawi isytihar wabak polio jenis 2 (cVDPV2) selepas dikesan dalam sampel persekitaran di Blantyre.
  • Kementerian kesihatan amarkan risiko kelumpuhan kekal, terutama kepada kanak-kanak, dan galakkan kebersihan makanan.
  • Rancangan untuk menjalankan kempen imunisasi tambahan sedang dirangka bagi melindungi kanak-kanak.
  • UNICEF bekerjasama dengan kerajaan, menyediakan dos vaksin dan mengukuhkan rantaian bekalan imunisasi.

Setiausaha Kesihatan dan Sanitasi Dan Namarika berkata virus itu dikenal pasti melalui pengawasan rutin air sisa kumbahan di dua tapak di bandar komersial Blantyre.

Kementerian itu memberi amaran bahawa virus berkenaan mendatangkan risiko kesihatan yang serius dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, serupa dengan virus polio liar.

“Susulan nasihat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kementerian sedang bekerja sepanjang masa untuk mempergiat langkah membendung wabak ini, sepertimana yang kami lakukan pada 2022.

Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya mengekalkan langkah kebersihan makanan bagi mencegah penularan virus dan memastikan kanak-kanak mendapat vaksinasi lengkap,” kata Namarika.

Beliau berkata pihaknya sedang merangka pelan untuk menjalankan kempen imunisasi tambahan bagi melindungi kanak-kanak dan mencegah jangkitan lanjut.

Kali terakhir Malawi melancarkan tindak balas polio pada 2022 selepas penularan virus polio liar jenis 1.

Pada Februari 2022, selepas 30 tahun tanpa sebarang kes, Malawi mengisytiharkan wabak polio selepas satu kes virus polio liar dikesan pada seorang kanak-kanak berusia 14 tahun. Sejak itu, tiada kes polio dilaporkan sehingga kini.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) telah bekerjasama dengan Kerajaan Malawi dalam usaha menamatkan polio. Selain memperoleh 6.8 juta dos vaksin, UNICEF turut menyokong pengukuhan rantaian bekalan imunisasi secara keseluruhan.

Polio menyerang sistem saraf dan jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kecacatan fizikal. -BERNAMA-ANADOLU

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan