Mahkamah tolak permohonan tahanan rumah bekas presiden Brazil, diarah kembali ke penjara

RIO DE JANEIRO, 2 Januari – Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro, akan dihantar semula ke penjara selepas Mahkamah Agung menolak permohonan peguamnya supaya beliau menjalani hukuman tahanan rumah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Agung menolak permohonan tahanan rumah bagi bekas Presiden Jair Bolsonaro.
  • Bolsonaro diarahkan dipindahkan semula ke sel di ibu pejabat polis persekutuan di Brasilia.
  • Mahkamah mendapati beliau terbabit komplot merancang rampasan kuasa dan pernah melanggar syarat mahkamah.

Mahkamah dalam keputusannya yang dikeluarkan pada Khamis menyatakan bahawa bekas presiden berhaluan kanan itu perlu dipindahkan semula ke selnya di ibu pejabat polis persekutuan di Brasilia, ibu negara Brazil, sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital.

Bolsonaro, 70, baru-baru ini menjalani pembedahan hernia berganda serta pembedahan bagi merawat masalah cegukan kronik. Beliau telah menjalani beberapa pembedahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan kecederaan parah akibat serangan tikaman semasa kempen pilihan raya 2018.

Bolsonaro, yang berkhidmat sebagai presiden dari 2019 hingga 2022, kini dipenjarakan sejak akhir November dan sedang menjalani hukuman penjara lebih 27 tahun.

Mahkamah Agung mendapati bahawa selepas tewas dalam pilihan raya, beliau telah berkomplot bersama sekutunya untuk merancang rampasan kuasa terhadap kerajaan pimpinan penggantinya, Luiz Inacio Lula da Silva.

Dengan mengambil kira keadaan kesihatannya, peguam Bolsonaro memohon agar beliau dibenarkan menjalani hukuman di bawah tahanan rumah. Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Agung Alexandre de Moraes menolak permohonan itu dengan alasan Bolsonaro berulang kali melanggar syarat yang dikenakan mahkamah serta didakwa cuba melarikan diri sebelum dipenjarakan. – BERNAMA-dpa

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan