Lebih dua tan kokain dirampas di Republik Dominika

Foto REUTERS

SANTO DOMINGO, 17 Februari- Pihak berkuasa Republik Dominika merampas lebih dua tan metrik kokain, selepas memintas sebuah bot di perairan wilayah Peravia dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), menurut kenyataan kerajaan pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih dua tan metrik kokain dirampas dari sebuah bot jenis "Go Fast" di perairan Peravia.
  • Operasi melibatkan aset maritim, udara dan darat serta kerjasama United States Southern Command.
  • Bot membawa 69 bungkusan besar berjumlah 2,049 paket dibalut plastik dan bertanda logo berbeza.
  • Enam lelaki warga tempatan ditahan; siasatan diteruskan untuk kenal pasti rangkaian pengedaran.

Operasi berkenaan melibatkan aset maritim, udara dan darat termasuk kerjasama dengan United States Southern Command, yang menjalankan pengawasan selama lebih 15 jam sebelum menahan sebuah bot jenis “Go Fast” tanpa pendaftaran dipercayai tiba dari Amerika Selatan.

Menurut pihak berkuasa, bot sepanjang kira-kira 30 kaki yang dilengkapi dua enjin sangkut itu membawa 69 bungkusan besar mengandungi 2,049 paket bahan terlarang, dengan anggaran berat keseluruhan mencecah dua tan metrik.

Kesemua paket berkenaan dibalut menggunakan plastik dan ditanda dengan pelbagai logo.

Enam lelaki warga Republik Dominika turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah yang terlibat dalam sindiket berkenaan. -REUTERS