
MADAGASCAR, 22 Februari – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa peningkatan segera bantuan kemanusiaan di Madagascar susulan angka korban akibat Siklon Tropika Gezani meningkat kepada lebih 60 orang.
- UNICEF gesa bantuan kemanusiaan segera untuk menangani kemusnahan teruk dan gangguan perkhidmatan asas.
- Kesan besar pada akses kesihatan, bekalan air bersih dan perlindungan memerlukan keutamaan bantuan.
- Keutamaan bantuan: makanan, air bersih, perkhidmatan kesihatan dan perlindungan kepada mangsa.
Menurut World Meteorological Organization, siklon berkenaan melanda timur negara itu pada 10 Februari lalu dengan kelajuan angin sekitar 180 kilometer sejam dan tiupan mencecah 230 kilometer sejam.
Bandar pelabuhan Toamasina antara kawasan paling teruk terjejas apabila banyak rumah musnah, infrastruktur rosak dan pokok tumbang menghalang laluan utama.
UNICEF memaklumkan hampir 270,000 penduduk terjejas manakala 16,000 lagi kehilangan tempat tinggal.
Ketua Kecemasan UNICEF di Madagascar, Gillian Walker, berkata tahap kemusnahan amat ketara dan memberi kesan besar terhadap akses kepada perkhidmatan kesihatan, bekalan air bersih serta tempat perlindungan.
Beliau berkata angka rasmi kematian setakat ini melebihi 60 orang, namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi susulan kesan berpanjangan bencana itu.
Pihak berkuasa dan agensi kemanusiaan kini mempergiat usaha bantuan, dengan keutamaan diberikan kepada penyediaan makanan, air bersih, perkhidmatan kesihatan dan perlindungan kepada mangsa terjejas.-REUTERS