Lebih 27,000 belia Nepal mohon jawatan anggota polis sementara

Belia Nepal beratur untuk menghantar permohonan bagi jawatan anggota polis sementara di luar pejabat Balai Polis Daerah di Kathmandu/ AFP

KATHMANDU, 12 Januari Lebih 27,000 belia Nepal memohon pekerjaan sementara sebagai anggota polis bagi mengawal keselamatan pada Pilihan Raya Umum akan datang, iaitu pilihan raya pertama sejak kebangkitan yang diterajui golongan muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 27,000 belia memohon jawatan anggota polis sementara untuk tugas keselamatan pilihan raya.
  • Jawatan sementara menawarkan sekitar AS$280 untuk 40 hari, dengan 149,090 kekosongan dirancang.
  • Permohonan ramai mencerminkan pengangguran belia dan kesukaran ekonomi selepas protes besar-besaran dan kehilangan pekerjaan.

Jurucakap Polis Nepal, Abinarayan Kafle berkata, angka permohonan berkenaan diterima pada Jumaat dan Sabtu, iaitu dua hari pertama tawaran pekerjaan itu dibuka. Seorang pemohon, Sarika Karki, 20, berkata beliau berharap dapat memperoleh sedikit wang saku.

“Saya juga daripada Generasi Z, tetapi saya tidak mempunyai pekerjaan. Saya harap pilihan raya berjalan lancar dan saya dapat menyumbang dengan cara saya sendiri sebagai polis sementara,” katanya di Kathmandu pada Ahad.

Nepal merancang mengisi 149,090 jawatan polis sementara menjelang pilihan raya Mac ini, dengan setiap anggota menerima bayaran kira-kira AS$280 bagi tempoh perkhidmatan selama 40 hari.

Menurut laporan pemantauan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) jumlah itu dianggap besar memandangkan pendapatan negara kasar per kapita Nepal pada 2025 hanyalah AS$1,404. Data kerajaan menunjukkan lebih 839,000 rakyat Nepal daripada populasi 30 juta orang berhijrah ke luar negara untuk bekerja tahun lalu.

Sementara itu Bank Dunia pula melaporkan 82 peratus tenaga kerja Nepal terlibat dalam pekerjaan tidak formal. Anggota polis sementara akan ditugaskan mengawal barisan pengundi di pusat pengundian, membawa peti undi serta melaksanakan tugas logistik lain.

“Ahad merupakan cuti umum, namun ramai orang, kebanyakannya golongan muda, beratur panjang di luar balai polis dengan penuh semangat,” kata Kafle.

Barisan pemohon turut dilihat di kesemua 77 daerah pada Isnin untuk mengisi borang permohonan. Kebanyakan pemohon muda itu bakal terlibat buat kali pertama dalam pilihan raya sebagai anggota polis sementara.

“Saya sebelum ini bekerja sebagai tukang masak di hotel, tetapi kini menganggur. Saya berserah segalanya kepada rezeki. Tetapi sekurang-kurangnya saya telah mencuba dan berharap sesuatu yang baik akan berlaku,” kata Nischal Poudel, 30, dari barisan permohonan di Kathmandu.

Berhubung protes yang menjatuhkan Kerajaan Nepal pada September lalu, negara itu mengalami kerugian kira-kira AS$586 juta, manakala hampir 15,000 individu kehilangan pekerjaan.

Demonstrasi yang dipimpin golongan muda itu pada awalnya tercetus akibat kemarahan terhadap larangan sementara kerajaan ke atas media sosial, sebelum berkembang menjadi bantahan lebih besar terhadap rasuah dan kesukaran ekonomi.

Tindakan keras pihak polis yang mengorbankan penunjuk perasaan muda menyebabkan rusuhan meluas, termasuk bangunan Parlimen dibakar, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan. Sekurang-kurangnya 77 individu terbunuh dalam insiden berkenaan.- AFP