Lebih 2.8 juta pelarian Afghanistan pulang ke tanah air pada 2025

Foto Reuters

ISLAMABAD, 19 Januari – Lebih 2.8 juta pelarian Afghanistan telah pulang ke tanah air dari negara-negara jiran sepanjang tahun lepas, menurut seorang pegawai kerajaan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 2.8 juta pelarian Afghanistan kembali ke negara dari negara jiran sepanjang tahun lalu.
  • Kerajaan menyediakan perkhidmatan asas dan perlindungan sementara kepada keluarga yang pulang.
  • Program pengagihan tanah dilancarkan; lebih 3,000 plot telah diagihkan kepada mereka yang pulang.
  • IOM beri amaran kepulangan besar menimbulkan cabaran integrasi semula dan daya tahan jangka panjang.

Timbalan jurucakap kerajaan, Hamdullah Fitrat ketika berucap pada satu persidangan anjuran Kementerian Sempadan, Puak dan Hal Ehwal Suku Kaum di Kabul berkata, kerajaan sedang menyediakan perkhidmatan asas dan kemudahan kepada keluarga yang pulang, lapor Radio Televisyen Afghanistan (RTA).

“Kira-kira 2.8 juta rakyat Afghanistan telah kembali dari negara-negara jiran pada tahun lepas (2025),” kata Fitrat.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan asas dan perlindungan sementara kepada beribu-ribu keluarga yang terjejas, selain menyatakan bahawa usaha bantuan untuk mereka yang pulang sedang giat dijalankan di seluruh negara.

Terdahulu pada Jumaat, Fitrat memaklumkan bahawa kerajaan juga telah melancarkan program pengagihan tanah dan plot dengan lebih 3,000 plot diagihkan dalam kalangan mereka yang pulang di pelbagai bahagian di Afghanistan.

Bulan lepas, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu menyatakan, kepulangan pelarian Afghanistan telah mewujudkan cabaran besar bagi proses integrasi semula dan daya tahan jangka panjang.- BERNAMA.